Sekilas
- Safwan Nazri mengakui anak-anaknya sering mengalami gangguan misteri selepas mengendalikan podcast Sembang Seram yang menampilkan kisah seram.
- Dia mengambil langkah berjaga-jaga seperti singgah ke masjid dan mendapatkan nasihat ustaz untuk melindungi diri dan keluarga daripada gangguan tersebut.
- Walaupun berdepan risiko, Safwan teruskan podcast kerana sokongan peminat dan sebagai sumber rezeki, serta berjaya memenangi trofi Program Digital Tergempak di GMWA.
Pengacara dan pelakon, Safwan Nazri mengakui anak-anaknya kerap berdepan gangguan misteri selepas mengendali podcast Sembang Seram, terutama apabila menampilkan tetamu dengan kisah yang terlalu menyeramkan.
Safwan atau Muhammad Safwan Mohammad Nazri , 31, berkata, dia akan menyinggah ke masjid sebelum pulang ke rumah setiap kali berasakan sesuatu yang menyeramkan. .
“Kalau buat podcast dengan tetamu yang ada cerita sangat menyeramkan, contohnya macam Jiha dan beberapa yang lain, memang ada kesan.
“Kalau kita rasa ‘vibe’ itu tak berapa seram, biasanya okey sahaja. Tapi kalau balik rumah tak singgah masjid dulu, memang akan ada gangguan,” katanya kepada Gempak.
Safwan berkata demikian ketika ditemui pada acara Gempak Most Wanted Awards 2025 (GMWA) yang berlangsung di Auditorium Dewan Bandaraya Shah Alam (MBSA), pada Ahad.
Berkongsi lanjut, Safwan mendedahkan antara kejadian paling menakutkan pernah dialami adalah apabila anak-anaknya menangis tanpa henti dan mendakwa melihat sesuatu yang menyeramkan.
“Gangguan yang tak masuk akal. Contohnya tiba-tiba telefon berbunyi sendiri, atau paling teruk anak menangis tanpa henti.
“Anak boleh menangis berulang-ulang dan cakap nampak ‘monster’, padahal tak ada apa-apa pun. Memang jadi seram. Bayangkan empat hingga lima hari betul-betul menangis. Waktu Maghrib pun menangis sampai malam,” luahnya.
Bimbang keadaan menjadi lebih serius, Safwan mengambil keputusan mendapatkan pandangan dan nasihat daripada ustaz bagi melindungi diri serta keluarga.
“Ustaz cakap memang ada ‘benda’ yang ikut atau bertenggek. Katanya memang ada kes macam podcast sebegini.
“Memang ada langkah berjaga-jaga. Kami ada ustaz sendiri, buat pendinding dan sebagainya. Paling penting, kalau rasa tak sedap selepas rakaman, kami akan berehat dulu dan singgah masjid.
“Setakat ini saya tak pernah kena depan mata. Saya tak pernah minta izin atau berlagak besar. Saya tak nak jumpa benda-benda macam itu.
“Saya tahu had saya. Sebab itu saya tak pernah buat podcast dekat luar. Ramai ajak, tapi saya tak akan buat. Saya tahu diri saya tak kuat dan memang penakut,” katanya.
Ditanya mengapa masih meneruskan podcast berunsur seram walaupun berdepan risiko gangguan, Safwan berkata sokongan peminat serta faktor rezeki menjadi pendorong utama.
“Subscriber tak menipu, jumlah tontonan memang tinggi dan mereka menyokong. Selain itu, ini juga punca rezeki.
“Ramai orang berkongsi rezeki di bawah ‘pokok’ yang sama. Kalau saya berhenti, macam mana dengan kawan-kawan lain? Sebab itu saya kena teruskan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Safwan berjaya merangkul trofi Program Digital Tergempak Di GMWA.`