Personaliti media sosial dan usahawan, Hafiz Mahamad mendedikasikan sebuah lagu istimewa buat para pejuang misi bantuan Global Sumud Flotilla (GSF)
Menurut Hafiz, walaupun dia bukan penulis lirik atau pencipta lagu yang berpengalaman, namun lagu itu hadir sebagai tanda memberikan sokongan dan semangat kepada pejuang Sumud Flotilla.
Advertisement
“Hati Kami Turut Serta. Saya tak pandai tulis lirik dan buat lagu. Tapi saya mencuba dan moga hasil dari lagu dan video ini dapat buat jiwa kita dekat dengan mereka. Insya-Allah, misi ini pasti berjaya,” tulisnya.
Dalam pada itu, menerusi video yang dimuat naik, Hafiz juga turut mengucapkan terima kasih kepada GSF kerana membawa suara dan semangat rakyat Malaysia.
“Terima kasih membawa semangat kami ke sana, dua tangan kami sentiasa untuk kalian. Jangan gentar, hati kami turut serta,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa 12 kapal yang menyertai misi GSF telah dipintas tentera Israel di Laut Mediterranean pada kira-kira 2.51 pagi waktu tempatan, menyebabkan 11 aktivis dan sukarelawan Malaysia turut ditahan.
Antaranya Ardell Aryana, Zizi Kirana, Farah Lee, Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Rahmat Ikhsan dan Haroqs.
Susulan perkembangan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut supaya semua aktivis dan sukarelawan yang ditahan dibebaskan segera kerana misi berkenaan bersifat kemanusiaan dan tidak membawa sebarang ancaman ketenteraan.
Secara keseluruhan, sekitar 201 aktivis kemanusiaan dari 36 negara dilaporkan telah diculik oleh tentera Israel selepas misi GSF ke Gaza dipintas tengah malam tadi.
Misi Global Sumud Flotilla dilancarkan sebagai usaha membawa bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza yang berdepan krisis kemanusiaan terburuk akibat kekejaman berterusan rejim Zionis