Sekilas
- Insomniacks akan melancarkan album sulung mereka, KAMI INSOMNIACKS, pada 30 Oktober dengan 12 lagu yang mengisahkan pengalaman dan perjalanan mereka dalam muzik.
- Persembahan kemuncak jelajah pra-album akan diadakan di ODEON KL pada 31 Oktober, menampilkan 14 lagu termasuk semua lagu dari album tersebut.
- Kumpulan ini turut bekerjasama dengan beberapa artis terkenal dan telah memulakan jelajah pra-album yang mendapat sambutan hangat di beberapa negeri sebelum ini.
Selepas hampir 11 tahun mencipta nama dalam industri muzik tanah air, kumpulan pop rock popular, Insomniacks akhirnya bakal melancarkan album sulung mereka berjudul KAMI INSOMNIACKS pada 30 Oktober ini.
Lebih istimewa, pencapaian tersebut akan diraikan bersama peminat menerusi persembahan kemuncak jelajah pra-album di ODEON KL, Kuala Lumpur pada 31 Oktober depan.
Album yang memuatkan 12 lagu itu mengangkat pelbagai kisah mengenai cinta, persahabatan, kekeluargaan, pengembaraan dan perkembangan diri berdasarkan pengalaman yang dilalui anggota kumpulan sepanjang perjalanan muzik mereka.
Menurut Insomniacks, album berkenaan cukup bermakna kerana menjadi simbol perjalanan serta kematangan mereka selepas lebih sedekad berkarya bersama.
“Album ini sangat bermakna buat kami sebab selepas hampir 11 tahun buat muzik bersama, akhirnya kami dapat kongsikan album pertama kami.
“Ia merangkum perjalanan, pengalaman dan apa yang kami pelajari selama ini. Kami memang teruja dan tak sabar nak semua orang dengar,” kongsi Insomniacks.
Menariknya, album tersebut turut menyaksikan Insomniacks bekerjasama dengan beberapa nama terkenal dalam industri muzik termasuk Aziz Harun, XONE, Hael Husaini dan Irfan Haris.
Menerusi kolaborasi berkenaan, kumpulan itu berpeluang meneroka pendekatan muzik yang lebih segar tanpa mengetepikan identiti asal mereka.
“Banyak yang berubah dari segi bunyi, penulisan lagu dan cara kami buat muzik. Kami suka bereksperimen, tapi untuk album ini, kami nak kukuhkan lagi identiti muzik kami.
“Harapnya, peminat dapat kenal sisi lain Insomniacks sambil masih rasa sentuhan yang mereka kenal selama ini,” ujar mereka.
Sebelum ini, Insomniacks telah memulakan jelajah pra-album di Pulau Pinang pada 19 September lalu, disusuli persembahan di Johor Bahru pada 3 Oktober yang menyaksikan tiket habis terjual.
Malah, kumpulan tersebut mengakui terharu apabila peminat sudah mampu menyanyikan beberapa lagu baharu mereka walaupun album berkenaan belum dilancarkan secara rasmi.
Sementara itu, persembahan kemuncak di ODEON KL dijangka menjadi antara detik paling istimewa buat Insomniacks apabila mereka bakal mempersembahkan 14 lagu, termasuk kesemua 12 lagu daripada album sulung tersebut.
Acara berkenaan juga dijangka menghimpunkan kira-kira 1,500 peminat.
“KL memang tempat kami bertapak, jadi setiap kali buat persembahan depan peminat di sini, rasanya cukup istimewa.
“Dapat akhiri jelajah di tempat sendiri buat pengalaman ini lebih bermakna buat kami,” ujar Insomniacks.
Untuk rekod, Insomniacks pernah meraih kemenangan kategori Video Muzik Tergempak di Gempak Most Wanted Awards 2024 menerusi lagu ‘Belum Mulai’ bersama Nabila Taqiyyah.
Kumpulan itu turut mencatat kejayaan menerusi konsert ‘Echoes of a Dream’ yang habis terjual di Kuala Lumpur dan Singapura pada 2025.
Album KAMI INSOMNIACKS boleh didengarkan di platform penstriman utama bermula 30 Oktober ini, manakala tiket persembahan di ODEON KL masih ditawarkan dalam jumlah terhad.