Skip to main content

Hiburan

“Haram Label Anak Nikah Fasid Sebagai Anak Zina” - Ustaz Hadhari

Kahwin

Pendakwah bebas, Ustaz Tajdid Hadhari akui wujud kekeliruan mengenai perbezaan antara nikah fasid dan zina sehingga membawa kepada pelabelan yang tidak adil terhadap anak-anak yang dilahirkan daripada perkahwinan tersebut. 

 

Jelas Ustaz Hadhari, dari sudut fiqh, nikah fasid dan zina merupakan dua perkara yang sangat berbeza walaupun sering disamakan oleh masyarakat.

 

“Berdasarkan fiqh, ada beza besar antara nikah fasid dan zina. Nikah fasid ini, akad nikah itu dibuat. Ada akad nikah, cuma disangka sah tetapi rupanya ada kecacatan pada rukun atau syarat nikah,” katanya kepada Gempak. 

 

Tambah beliau, perbezaan paling ketara adalah niat dan proses yang berlaku dalam pernikahan tersebut.

 

Hadhari atau dikenali sebagai Ustaz Bola turut menegaskan bahawa menurut pandangan jumhur ulama, ibu bapa yang terlibat dalam nikah fasid tidak berniat untuk berzina kerana mereka menyangka pernikahan itu sah di sisi agama.

 

“Kalau zina, dia melakukan hubungan tanpa angkat nikah langsung. Tetapi fasid, dia bernikah dan menyangka perkahwinan itu sah, rupa-rupanya ada kecacatan dari sudut hukum. 

 

Pandangan jumhur ulama menyatakan, selagi ada akad nikah, ibu bapanya tidak berniat untuk berzina kerana mereka menyangka perkahwinan tersebut sah,” katanya.

 

Justeru, beliau menegaskan bahawa anak yang lahir daripada pernikahan nikah fasid tidak boleh dihukum sebagai anak zina.

 

“Anak yang lahir daripada pernikahan tersebut tidak dihukum sebagai anak zina. Maka kita haram dan tidak boleh melabel anak itu sebagai ‘anak haram’ secara mutlak,” tegasnya.

 

Dalam pada itu, Hadhari menjelaskan bahawa kaedah fiqh yang digunakan ialah Al Walad Lil Firaj, iaitu anak dinasabkan kepada perkahwinan selagi wujud akad nikah.

 

“Ini kaedah fiqh. Selagi ada akad, anak itu dinasabkan kepada perkahwinan,” jelasnya lagi.

Must-Watch Video

Advertisement