Sekilas
- Heliza Helmi menjelaskan dia dan adiknya menunaikan solat di belakang pentas ABP37 kerana kekangan masa dan lokasi yang lebih selesa serta tersorok.
- Dia menafikan sengaja merakam atau memuat naik video solat tersebut untuk tujuan publisiti dan menegaskan rakaman itu bukan dari pihaknya.
- Heliza mengingatkan orang ramai supaya membuat semakan fakta (tabayyun) sebelum membuat sebarang andaian mengenai situasi tersebut.
Penyanyi dan pelakon, Heliza Helmi tampil memberikan penjelasan berhubung video tular yang merakamkan dirinya sedang menunaikan solat bersama adiknya, Hazwani di belakang pentas Anugerah Bintang Popular (ABP37) baru-baru ini.
Menurut Heliza, keputusan untuk menunaikan solat di lokasi berkenaan dibuat atas faktor kekangan masa serta situasi pada ketika itu memandangkan hanya berbaki kira-kira 10 minit sebelum acara bermula secara langsung pada jam 9 malam.
“Masa waktu solat kita tidak tahu apa yang terjadi di sekeliling kita, ada yang tanya kenapa tak solat di surau?
“Mungkin kita orang on the go, mungkin asbab daripada banyak misi, banyak travel, kita orang memang style arab, solat dekat mana-mana.
“Dekat mana mana yang nampak bersih atau apa kita solat terus dan waktu itu tinggal 10 minit sebelum nak live pukul 9,” jelasnya menerusi siaran langsung di TikTok.
Tambah Heliza, kawasan tersebut dipilih kerana lebih tersorok dan tidak menjadi laluan utama orang ramai.
“Jadi kalau boleh kita memang nak selesaikan sebab kita tahu bila dalam anugerah begini mungkin lambat sangat nak balik.
“Jadi kita tahu kelemahan kita macam Ya Allah nanti nak kena solat Isyak terlalu lambat. Maka kita ada masa berbahagi 10 minit waktu itu dekat belakang pentas.
“Itu pun tersorok, orang tak lalu sangat jadi dekat situ, jadi kita solat. Kalau nak cari surau, dengan ramai orang memang sangat mencabar sebenarnya, jadi kitorang solat dekat situ,” ujarnya.
Mengulas mengenai penularan video tersebut, Heliza menegaskan bahawa rakaman itu bukan dilakukan apatah lagi untuk memuat naik di media sosial.
Malah Heliza juga menegaskan, tidak timbul isu enggan solat di surau atau sengaja merakam perbuatan tersebut untuk tujuan publisiti.
“Tapi kita pun faham sebab orang tidak berada dalam situasi kita ketika itu, macam assumption yang begini begitu, jadi pengajaran dan pelajarannya adalah Tabaiyyun. Maksudnya kita cek dahulu, periksa.
“Harapnya penjelasan berkenaan dengan video solat… Itu bukan kami rekod, bukan kami post, kami tidak tahu menahu,” ujarnya.
Terdahulu, tular video di media sosial yang merakamkan detik Heliza dan Hazwani sedang menunaikan solat di belakang pentas.
Video tersebut kemudiannya menerima pelbagai reaksi netizen.