Sekilas
- Pengarah Datuk Jurey Latiff Rosli menziarahi pelakon Helmi Gimmick yang sedang melawan kanser buah pinggang tahap empat dan akan menjalani pembedahan membuang satu buah pinggang.
- Jurey menyeru orang ramai mendoakan agar pembedahan Helmi berjalan lancar dan beliau diberi kekuatan serta kesembuhan.
- Jurey turut menasihati anak seni supaya menjaga kesihatan dan mengutamakan keseimbangan kerja dan kehidupan demi kelangsungan hidup yang bermaruah.
Pengarah terkenal, Datuk Jurey Latiff Rosli berkongsi momen dia berkesempatan menziarahi pelakon Helmi Gimmick, yang kini sedang diuji dengan penyakit kanser buah pinggang tahap empat.
Menerusi perkongsian di Facebook, Jurey memaklumkan Helmi bakal menjalani pembedahan untuk membuang satu buah pinggangnya pada Khamis depan.
“Saya berkesempatan menziarahi sahabat seni, Helmi Gimmick, yang sedang diuji dengan kanser buah pinggang tahap 4 di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Seri Kembangan.
“Insya-Allah, beliau dijadualkan menjalani pembedahan membuang satu buah pinggang pada Khamis depan. Marilah kita sama-sama menitipkan doa agar segala urusan sahabat saya Helmi Gimmick dipermudahkan, pembedahan berjalan lancar, diberi kekuatan, ketabahan serta dikurniakan kesembuhan oleh Allah SWT.
“Ya Allah, Engkau Maha Penyembuh. Angkatlah kesakitan sahabat kami ini dan kurniakanlah kesihatan yang berpanjangan kepadanya,” kongsinya.
Dalam pada itu, Jurey turut menitipkan pesanan buat selebriti untuk menjaga kesihatan dalam masa mencari rezeki.
“Jika masuk hospital, tiadalah lagi panggilan kerja. Jika tiada kerja, tiadalah pendapatan. Ramai anak seni memilih untuk terus bekerja walau sakit, melambatkan rawatan, menangguhkan kesihatan, demi kelangsungan hidup.
“Bukan kerana mereka tidak sayang diri, tetapi kerana mereka tiada pilihan. Apabila sakit menjadi rahsia, apabila kesihatan menjadi pertaruhan, di situlah kita sedar betapa rapuhnya kehidupan anak seni yang tiada tabung simpanan hari tua, tiada perlindungan kebajikan, tiada jaminan apabila usia dan tenaga semakin menua.
“Izinkan saya menasihati carilah rezeki, tetapi jangan mengorbankan kesihatan. Kerjarlah kerja, tetapi jangan mengabaikan kehidupan. Work–life balance bukan kemewahan, ia adalah keperluan untuk hidup dengan bermaruah dan berkualiti.
“Ya Allah, ajarkan kami untuk mengejar rezeki tanpa mengorbankan diri, kerana kami sedar, duit tidak akan pernah cukup dan kesihatan adalah nikmat yang tidak mampu dibeli dengan wang,” ujarnya.
Sumber - Facebook