Anak sulung daripada tiga beradik yatim piatu yang dijaga oleh lelaki berketurunan Tionghua, Michael Tong Wai Siong atau lebih mesra disapa Uncle Mike, mendedahkan dirinya pernah melalui fasa gelap dalam hidup sebelum bertemu insan berhati mulia itu.
Rafie, yang kini sudah berkeluarga, berkata kehidupannya hampir musnah dan dia berdepan detik paling sukar dalam hidup sehingga pernah terlintas untuk berputus asa.
Advertisement
“Sebenarnya hidup saya hampir musnah sebelum jumpa Uncle Mike. Masa itu saya sampai tahap nak bunuh diri. Nasib baiklah dapat jumpa dia.
“Uncle Mike ni macam bapa dan ibu bagi saya. Dia memang penyelamat. Sekarang hidup saya alhamdulillah okay, semua teratur. Saya kerja pun dengan Uncle Mike, belajar buat bisnes dan tengok adik-adik pun dah berjaya,” katanya kepada Gempak.
Menurut Rafie, kasih sayang dan perhatian yang dicurahkan Uncle Mike membuatkan dia merasai semula nikmat berkeluarga selepas kehilangan ibu bapa pada usia muda.
“Bila dengan Uncle Mike, memang rasa macam ada ayah. Dia selalu dengan saya, banyak bimbing dan tolong. Dari situ saya belajar untuk jadi lebih baik. Sekarang saya pun dah ada anak, jadi saya kena main peranan sebagai bapa pula,” ujarnya lagi.
Sementara itu, kisah pengorbanan Uncle Mike turut diangkat ke layar perak menerusi filem Abah Saya Uncle Mike yang mula ditayangkan di pawagam pada 28 Ogos lalu.
Filem terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Etika Sdn. Bhd. itu diadaptasi daripada kisah benar bagaimana Uncle Mike membesarkan tiga anak yatim piatu Melayu sejak kecil, lengkap dengan bimbingan rohani serta penghormatan terhadap agama Islam.
Dedikasi beliau turut mendapat pengiktirafan apabila menerima Anugerah Maulidur Rasul 2024 daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas jasa dan pengorbanannya.
Menampilkan Andy Teh bersama pelakon muda berbakat besar seperti Idan Aedan, Nor Merah dan Umar Shakur, filem tersebut mengetengahkan tema kekeluargaan dan semangat perpaduan dengan mesej bahawa kasih sayang sejati tidak mengenal warna kulit atau darah daging.