Sekilas
- Festival Akar Kita Zapin 2026 yang berlangsung di AEON Mall Alpha Angle, Kuala Lumpur, berjaya menarik 1,500 peserta dan pengunjung selama tiga hari.
- Festival ini memberi peluang kepada generasi muda mempelajari tujuh jenis zapin melalui bengkel, pertandingan, dan persembahan kebudayaan.
- Acara ini turut melibatkan kerjasama komuniti, keluarga, dan wakil kedutaan antarabangsa untuk mempromosikan seni zapin sebagai warisan yang relevan dan berterusan.
Usaha Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris dalam memperjuangkan seni warisan terus mendapat sambutan hangat.
Buktinya, penganjuran Festival Akar Kita Zapin (AKZ) 2026 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung selama tiga hari di AEON Mall Alpha Angle, Kuala Lumpur, bermula 30 Oktober hingga 1 November lepas telah dihadiri seramai 1,500 orang yang terdiri daripada peserta, pengamal seni, komuniti, keluarga serta pengunjunh yang hadir.
Menerusi Festival Akar Kita Zapin, Noraniza yang memainkan peranan sebagai penggerak idea dan pengarah program bersama Persatuan Tatihseni Malaysia terus membuka ruang kepada masyarakat untuk mendekati seni tradisional, sekali gus memastikan warisan zapin kekal relevan dan dapat diteruskan oleh generasi akan datang.
Usaha yang diteruskan sejak 2010 itu bertujuan memupuk minat terhadap seni tradisional, selain memberi peluang kepada generasi muda mempelajari zapin secara langsung daripada pengamal dan tokoh warisan.
Melalui festival ini, para peserta bukan sahaja berpeluang menonjolkan bakat mereka malah pengunjunh yang hadir berpeluan melakukan pelbagai aktiviti termasuklah bengkel percuma, pertandingan serta persembahan kebudayaan.
Menerusi festival ini juga, para peserta berpeluang mengenali tujuh jenis zapin iaitu Zapin Pekajang, Zapin Tenglu, Zapin Lenga, Zapin Koris, Zapin Melayu Johor, Zapin Seri Bunian dan Zapin Parit Mastar.
Bukan itu sahaja, festival itu turut menyaksikan penganjuran Kejohanan Peningkah Laga Terbaik Juara menengang Juara Peringkat Kebangsaan yang menghimpunkan 300 peserta terpilih daripada siri Zapin Living Lab.
Penyertaan daripada lebih lima negeri ini memberi peluang kepada peserta memperlihatkan kemahiran, kreativiti serta penguasaan mereka dalam seni zapin di samping membina keyakinan dan disiplin.
Selain pertandingan dan bengkel, acara kemuncak turut menampilkan program Pesona Cilik Perpaduan sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPNIN WPKL).
Program berkenaan melibatkan 280 peserta kanak-kanak, manakala 150 anggota komuniti perpaduan turut mengambil bahagian dalam festival tersebut.
Kehadiran wakil kedutaan dari beberapa negara termasuk Ghana, Pakistan dan Iran turut membuka ruang untuk memperkenalkan seni zapin serta kebudayaan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.
Siri jelajah Zapin Living Lab sebelum ini berlangsung di empat lokasi AEON Mall, iaitu Tebrau City, Johor pada 15 dan 16 Ogos; AU2 Setiawangsa, Kuala Lumpur pada 19 dan 20 September; Kinta City, Ipoh pada 2 hingga 4 Oktober; serta Alpha Angle, Kuala Lumpur pada 30 Oktober hingga 1 November.
Kerjasama bersama AEON Co. (M) Bhd. sebagai Rakan Strategik Lokasi Rasmi membolehkan seni tradisional diperkenalkan kepada orang ramai dalam suasana terbuka dan mudah diakses.
Penganjuran festival itu turut menekankan kepentingan penglibatan generasi muda, keluarga dan komuniti dalam memastikan seni tradisional terus diamalkan, bukan sekadar dikenali sebagai warisan masa lalu.