Sekilas
- Da’i Syed dibebaskan sementara oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya selepas 21 hari menjalani hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas kesalahan merogol.
- Mahkamah membenarkan permohonan menggantung pelaksanaan hukuman dengan jaminan RM40,000 dan syarat menyerahkan pasport serta melapor diri setiap bulan.
- Panel hakim mengambil kira rekod kehadiran Syed yang baik sepanjang prosiding dan tiada bukti dia melarikan diri sebelum ini.
Pendakwah selebriti, Da’i Syed kembali dibebaskan sementara oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya, pada Jumaat selepas 21 hari menjalani hukuman penjara.
Pembebasan itu dibuat selepas panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azmi Ariffin sebulat suara membenarkan permohonan Syed atau Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful Jamalullail, 31, untuk menggantung pelaksanaan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan.
Terdahulu, hukuman tersebut dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam atas kesalahan merogol seorang wanita tujuh tahun lalu.
Menurut Azmi Ariffin, mahkamah mendapati terdapat keadaan istimewa yang mewajarkan pemohon dilepaskan dengan jaminan sehingga rayuan terhadap sabitan dan hukuman diputuskan.
“Setelah mendengar penghujahan daripada kedua-dua pihak dan membaca penghujahan bertulis, kami mendapati bahawa terdapat keadaan istimewa yang mewajarkan pemohon ini dilepaskan diatas jaminan sehingga rayuan pemohon (sabitan dan hukuman) di Mahkamah Rayuan ini diputuskan," katanya.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan dua penjamin.
Selain itu, pasport pendakwah itu perlu diserahkan kepada mahkamah dan Syed diarah untuk melaporkan diri di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam antara 1 hingga 5 haribulan setiap bulan bermula Mac 2026.
Turut bersidang dalam panel tersebut ialah hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Meor Hashimi Abdul Hamid.
Sejurus prosiding tamat, isteri Syed, Hana Ismail, 40, yang hadir di mahkamah dilihat terus memeluk suaminya.
Dalam pada itu, mahkamah turut mengambil kira bahawa pemohon tidak pernah gagal menghadiri perbicaraan di Mahkamah Sesyen mahupun Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Tiada juga keterangan yang menunjukkan dia pernah melarikan diri atau menghilangkan diri sepanjang prosiding berlangsung.
Syed diwakili peguam M. Athimulan manakala pihak pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim @ Husaini.
Pada 23 Januari lalu, Syed diperintah menjalani hukuman di Penjara Kajang serta-merta selepas Mahkamah Tinggi mengekalkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan, selain tidak membenarkan penangguhan hukuman.
Sumber: mStar Online