Skip to main content

Rancangan Realiti

INNOVATHON 3: Hasilkan Kasut Sekolah Daripada Proses Kitar Semula, Formula Kasut Sekolah Dinobat Juara Minggu Ketujuh

INNOVATHON Formula Kasut Sekolah

Sekilas

  • Formula Kasut Sekolah dinobatkan juara minggu ketujuh INNOVATHON 3 dengan inovasi kasut sekolah mesra alam daripada sarung tangan Nitrile kitar semula.
  • Kasut ini dilengkapi ciri anti gelincir, tahan lasak, kalis air dan telah lulus ujian REACH serta pensijilan SIRIM Eco.
  • Pasukan Solewell juga menderma 100 pasang kasut kepada rumah anak yatim dan sekolah golongan B40 sebagai sebahagian usaha sosial mereka.

Minggu ketujuh menyaksikan Formula Kasut Sekolah dinobatkan sebagai juara mingguan INNOVATHON 3 yang disiarkan pada Sabtu lalu.

Kejayaan ini diraih selepas pembentangan mantap yang berjaya menarik perhatian barisan juri menerusi inovasi yang memberi impak tinggi kepada masyarakat.

Menerusi sesi pembentangan, Formula Kasut Sekolah tampil dengan idea inovatif menghasilkan kasut sekolah yang diperbuat daripada proses kitar semula sarung tangan Nitrile tertolak (QC rejected).

Inisiatif ini secara langsung membantu mengurangkan jumlah sisa sarung tangan Nitrile yang dibuang ke tapak pelupusan sampah, sekali gus menyumbang kepada usaha pemeliharaan alam sekitar secara mampan.

Kasut sekolah yang dihasilkan ini bukan sahaja mesra alam, malah direka khusus untuk memenuhi keperluan pelajar.

Ia dilengkapi ciri anti gelincir, tahan lasak dan kalis air bagi memastikan keselesaan serta keselamatan sepanjang tempoh persekolahan.

Produk ini juga selamat digunakan kerana telah lulus ujian bahan berbahaya (REACH test) serta mempunyai label pensijilan SIRIM Eco.

Dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam industri getah, pasukan Formula Kasut Sekolah yang menghasilkan produk berkualiti tinggi ini dipasarkan di bawah jenama Solewell.

Malah, jenama ini turut menawarkan pelbagai jenis kasut lain termasuk kasut keselamatan dan kasut lelaki.

Menariknya, kasut sekolah inovatif ini diperbuat daripada 99 peratus getah kitar semula dan pasukan Formula Kasut Sekolah juga telah menderma sebanyak 100 pasang kasut kepada rumah anak yatim dan sekolah yang melibatkan golongan B40.

INNOVATHON 3 minggu ketujuh ini dijurikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Makro) Kementerian Ekonomi, YBhg. Dato' Ts. V. Valluvan Veloo, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi, YBrs. Puan Norsham Abdul Latip, Juri Selebriti, Erra Fazira, Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif Collektr, Adlin Yusman dan Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Capital Ventures Sdn Bhd, Abdul Aziz Abu Bakar.

Selain itu, pelakon, Amelia Henderson dan Awal Ashaari diberi tanggungjawab sebagai hos bagi rancangan manakala Ceddy Ang selaku hos kapsul.

Pengacara tersohor negara, Datuk Aznil Nawawi pula berperanan sebagai Mentor INNOVATHON yang membimbing dan memberi motivasi kepada para peserta.

Program TV inovasi terbaik Asia, INNOVATHON dengan kerjasama Astro dan Kementerian Ekonomi dan MOSTI ini menyaksikan skala yang lebih besar dan penyertaan dua kali ganda tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

Saksikan pelbagai idea dan ciptaan inovatif kreatif ini setiap Sabtu, jam 9.00 malam secara eksklusif di Astro RIA (saluran 104), Astro Vaanavil, Astro Showcase dan strim di Astro GO serta sooka

Must-Watch Video

Advertisement