Sekilas
- Pasukan Kulit Lestari menang minggu keenam INNOVATHON 3 dengan produk kulit berasaskan serat semula jadi dari sisa tanaman seperti batang pisang, daun nanas, buluh dan pelepah sawit.
- Inovasi mereka menggunakan teknologi resin semula jadi sebagai pengikat fiber, menghasilkan bahan kulit mesra alam yang tahan lama dan sesuai untuk pelbagai produk seperti kasut dan beg tangan.
- Program INNOVATHON 3 disiarkan setiap Sabtu jam 9 malam di Astro RIA dan platform digital, dengan penglibatan selebriti dan tokoh penting sebagai juri dan hos.
Program INNOVATHON 3 menyaksikan pasukan Kulit Lestari diumumkan sebagai pemenang minggu keenam pada malam Sabtu lalu.
Menerusi sesi pembentangan, Kulit Lestari berjaya menarik perhatian barisan juri dengan mengetengahkan produk kulit berasaskan serat semula jadi yang diperoleh daripada sisa tanaman.
Inovasi itu sekaligus menawarkan alternatif baharu sebagai pengganti kepada sumber bahan kulit konvensional.
Antara tumbuhan yang digunakan termasuklah batang pisang yang menghasilkan tekstur fiber lebih menonjol, daun nanas dengan tekstur lebih halus, serta buluh dan pelepah sawit yang bersifat keras, tahan lasak dan mempunyai ketebalan serta prestasi yang baik.
Menurut pembentangan Kulit Lestari, setiap jenis tumbuhan menghasilkan tekstur dan kemasan yang berbeza, menjadikan produk akhir lebih unik serta mempunyai nilai estetik tersendiri.
Manakala proses penghasilan pula melibatkan kerjasama dengan pekebun tempatan, di mana mesin dibekalkan kepada pekebun bagi mengekstrak fiber daripada sisa tanaman.
Fiber tersebut kemudiannya dibeli semula dan diproses untuk dijadikan bahan kulit tiruan.
Jelas pasukan itu lagi, keunikan utama inovasi ini terletak pada penggunaan teknologi resin semula jadi yang bertindak sebagai pengikat fiber bagi membentuk bahan kulit.
Hasilnya, bahan kulit tersebut boleh digunakan untuk menghasilkan pelbagai produk akhir seperti kasut, beg kecil (pouch bag), barangan cenderamata, penutup lanyard, beg tangan dan banyak lagi.
Selain mesra alam, produk kulit keluaran Kulit Lestari juga didapati lebih tahan berbanding produk kulit sintetik di pasaran.
Ia bukan sahaja mudah dilupuskan, malah lebih mesra alam sekitar.
INNOVATHON 3 minggu keenam ini dijurikan oleh Menteri Sains, Teknologi & Inovasi, YB Chang Lih Kang, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Ybhg. Datuk Nor Azmie Diron, Juri Selebriti, Erra Fazira, Pengarah Kreatif Mellooi Creation Sdn. Bhd, Melinda Looi dan Pelabur Teknologi Teroka, Shahril Hamdan.
Selain itu, pelakon, Amelia Henderson dan Awal Ashaari diberi tanggungjawab sebagai hos bagi rancangan manakala Ceddy Ang selaku hos kapsul.
Pengacara tersohor negara, Datuk Aznil Nawawi pula berperanan sebagai Mentor INNOVATHON yang membimbing dan memberi motivasi kepada para peserta.
Program TV inovasi terbaik Asia, INNOVATHON dengan kerjasama Astro dan Kementerian Ekonomi dan MOSTI ini menyaksikan skala yang lebih besar dan penyertaan dua kali ganda tahun ini berbanding tahun sebelumnya.
Saksikan pelbagai idea dan ciptaan inovatif kreatif ini setiap Sabtu, jam 9.00 malam secara eksklusif di Astro RIA (saluran 104), Astro Vaanavil, Astro Showcase dan strim di Astro GO serta sooka