Sekilas
- Spray Fresh diumumkan sebagai pemenang minggu kelima INNOVATHON 3 dengan inovasi semburan organik yang melambatkan pereputan buah dan sayur menggunakan antimicrobial peptide semula jadi.
- Produk ini selamat digunakan tanpa perlu dibasuh, mesra alam, dan mampu memanjangkan jangka hayat hasil tuaian sehingga dua kali ganda sambil mengurangkan kebergantungan pada sistem cold chain.
- Spray Fresh sesuai untuk semua peringkat pengguna dan berpotensi dieksport dalam bentuk serbuk, dengan satu botol mampu merawat sehingga 25 tan metrik hasil tuaian.
Usaha membuahkan hasil apabila Spray Fresh diumumkan sebagai pemenang minggu kelima program INNOVATHON 3 yang disiarkan pada malam Sabtu lalu.
Menerusi sesi pembentangan, Spray Fresh berjaya menarik perhatian barisan juri dengan memperkenalkan semburan organik berasaskan antimicrobial peptide semula jadi yang diekstrak daripada bakteria baik.
Inovasi ini berfungsi memusnahkan bakteria perosak yang menjadi punca utama kerosakan buah dan sayur, sekali gus melambatkan proses pereputan.
Penggunaan Spray Fresh terbukti mampu memanjangkan jangka hayat hasil tuaian sehingga dua kali ganda.
Setakat ini, produk tersebut telah digunakan pada pelbagai hasil tuaian seperti salad, jambu batu, betik dan pisang, serta menerima maklum balas dan permintaan menggalakkan daripada para peladang untuk menjalankan uji kaji ke atas durian pula.
Spray Fresh juga selamat dimakan tanpa perlu dibasuh, mesra alam dan bebas toksik, menjadikannya sesuai untuk kegunaan harian.
Selain itu, produk ini turut membantu mengurangkan kebergantungan kepada sistem cold chain dan penggunaan elektrik, kerana hasil tuaian tidak lagi perlu disimpan dalam peti sejuk untuk tempoh yang lama.
Spray Fresh juga direka agar sesuai digunakan oleh semua peringkat, termasuk peladang, pengedar dan pengguna.
Dari sudut komersial, produk ini mempunyai potensi ubtun dieksport dalam bentuk serbuk yang boleh dicampur dengan air sebelum digunakan.
Sebotol Spray Fresh yang berkapasiti 1 liter mampu digunakan untuk merawat sehingga 25 tan metrik hasil tuaian, menjadikannya solusi yang cekap dan menjimatkan kos.
INNOVATHON 3 minggu kelima ini dijurikan oleh Menteri Sains, Teknologi & Inovasi, YB Chang Lih Kang, Timbalan Ketua Setiausaha (Makro) Kementerian Ekonomi, YBhg. Datuk Ts. V. Valluvan Veloo, Juri Selebriti, Erra Fazira, Pengasas & Pengarah Eksekutif Alha Alfa Rich Legacy Sdn. Bhd, Datuk Seri Alha Alfa dan Ketua Pegawai Eksekutif BigPay, Aireen Omar.
Selain itu, pelakon, Amelia Henderson dan Awal Ashaari diberi tanggungjawab sebagai hos bagi rancangan manakala Ceddy Ang selaku hos kapsul.
Pengacara tersohor negara, Datuk Aznil Nawawi pula berperanan sebagai Mentor INNOVATHON yang membimbing dan memberi motivasi kepada para peserta.
Program TV inovasi terbaik Asia, INNOVATHON dengan kerjasama Astro dan Kementerian Ekonomi dan MOSTI ini menyaksikan skala yang lebih besar dan penyertaan dua kali ganda tahun ini berbanding tahun sebelumnya.
Saksikan pelbagai idea dan ciptaan inovatif kreatif ini setiap Sabtu, jam 9.00 malam secara eksklusif di Astro RIA (saluran 104), Astro Vaanavil, Astro Showcase dan strim di Astro GO serta sooka