Skip to main content

Rancangan Realiti

INNOVATHON 3: Petrol Jimat, Enjin Sihat! Cipta Inovasi Bateri Kenderaan Hidrogen, REBOOZ Hydrogen Technology Dinobat Juara Minggu Ketiga

INNOVATHON 3 Rebooz Hidrogen pemenang minggu ketiga

Sekilas

  • REBOOZ Hydrogen Technology menang minggu ketiga INNOVATHON 3 dengan inovasi bateri pintar berasaskan hidrogen yang mampu meningkatkan prestasi enjin dan jimat bahan api.
  • Teknologi ini menggunakan nano-membran untuk hasilkan hidrogen dari hanya dua liter air, memulihkan kuasa enjin sehingga 30% dan kurangkan emisi karbon hingga 70%.
  • Inovasi mesra alam ini sesuai untuk kenderaan persendirian dan berat, serta telah dibentang kepada PETRONAS, UMW dan MOSTI sebagai sokongan misi karbon sifar 2030.

Usaha membuahkan hasil apabila REBOOZ Hydrogen Technology diumumkan sebagai pemenang minggu ketiga program INNOVATHON 3 yang disiarkan pada malam Sabtu lalu. 

Menerusi sesi pembentangan, pasukan REBOOZ Hydrogen Technology berjaya menarik perhatian juri dengan memperkenalkan inovasi bateri pintar berasaskan hidrogen.

Teknologi ini berfungsi menghasilkan gas hidrogen daripada air bagi proses nyahkarbon enjin kenderaan, sekali gus membantu meningkatkan prestasi enjin dan mengurangkan penggunaan bahan api.

Inovasi ini merupakan produk pertama dunia yang dilengkapi dengan penjana hidrogen mudah alih.

Jelas pasukan ini lagi, dengan penggunaan teknologi nano-membran, sistem ini hanya memerlukan dua liter air untuk menghasilkan hidrogen, menjadikannya lebih praktikal, cekap dan mesra alam.

Proses rawatan pula hanya mengambil masa selama 45 minit, namun mampu memberikan impak yang ketara terhadap prestasi enjin.

Antara manfaat utama teknologi ini ialah keupayaannya memulihkan kuasa enjin sehingga 30 peratus, menjimatkan penggunaan bahan api sehingga 30 peratus serta mengurangkan emisi karbon sehingga 70 peratus.

Sistem ini dikuasakan oleh bateri eBox SuperCell yang mempunyai jangka hayat sehingga 10 tahun dan menyokong sehingga 30,000 kitaran penggunaan tanpa memerlukan penyelenggaraan yang rumit.

Tambahan pula, teknologi ini tidak menggunakan sebarang bahan kimia berbahaya, sekali gus menjadikannya selamat dan mesra alam.

Selain digunakan pada kenderaan persendirian, inovasi ini juga boleh diaplikasikan secara hibrid untuk kenderaan berat seperti lori, dengan keupayaan meningkatkan prestasi enjin sehingga 15 peratus.

Potensi besar teknologi ini juga telah dibentangkan kepada organisasi utama seperti PETRONAS, UMW dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) selain menyokong misi karbon sifar 2030.

INNOVATHON 3 minggu ketiga ini dijurikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi iaitu YB Chang Lih Kang, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, YBhg. Datuk Nor Azmie Bin Diron, Ketua Saintis & Pengasas Bersama Qarbotech, Prof. Dr. Suraya Abdul Rashid, Pakar Inovasi Korporat, Ganesh Mahendranathan serta Erra Fazira selaku juri selebriti.

Selain itu, pelakon, Amelia Henderson dan Awal Ashaari diberi tanggungjawab sebagai hos bagi rancangan manakala Ceddy Ang selaku hos kapsul.

Pengacara tersohor negara, Datuk Aznil Nawawi pula berperanan sebagai Mentor INNOVATHON yang membimbing dan memberi motivasi kepada para peserta.

Program TV inovasi terbaik Asia, INNOVATHON dengan kerjasama Astro dan Kementerian Ekonomi dan MOSTI ini menyaksikan skala yang lebih besar dan penyertaan dua kali ganda tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

Saksikan pelbagai idea dan ciptaan inovatif kreatif ini setiap Sabtu, jam 9.00 malam secara eksklusif di Astro RIA (saluran 104), Astro Vaanavil, Astro Showcase dan strim di Astro GO serta sooka

Topik Berkaitan

Must-Watch Video

Advertisement