Pelakon, Sharnaaz Ahmad menyuarakan kebimbangan terhadap trend kandungan media sosial masa kini yang disifatkan semakin mengabaikan batas dan nilai dalam institusi kekeluargaan.
Menurut Sharnaaz, ada segelintir pencipta kandungan sanggup memaparkan situasi rumah tangga yang keterlaluan demi meraih tontonan dan perhatian, walhal realiti sebenar mungkin jauh berbeza daripada apa yang dipertontonkan.
“Zaman moden ini, mungkin orang terlupa mengenai batas dalam menghasilkan kandungan media sosial. Mungkin realitinya, wanita yang berlakon dalam kandungan itu pun bukanlah isteri yang menakutkan suami. Mungkin nak bercakap dengan suami pun sebenarnya dia tak berani.
“Tetapi disebabkan nak buat ‘content’, dia bercakap begitu dengan suami. Kita tak mahu perkara begini jadi ikutan. Sebab itu saya bersuara, sebab institusi kekeluargaan akan berdepan bahaya kalau situasi itu menjadi kebiasaan,”katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Sharnaaz turut menegaskan bahawa pendiriannya menyuarakan isu tersebut langsung tidak berkait dengan kehidupan peribadinya, khususnya perceraian yang pernah dilaluinya sebelum ini.
Malah, pelakon filem Jebat itu menafikan dakwaan kononnya perpisahannya dengan bekas isteri, Noor Nabila berpunca daripada isu kurang hormat dalam rumah tangga.
“Saya langsung tak terasa kerana perceraian saya tiada kaitan dengan isu pasangan tak hormat satu sama lain. Bekas isteri saya, Noor Nabila tak pernah bersikap kurang ajar dengan saya sewaktu kami menjadi suami isteri. Kami berpisah kerana tiada kesefahaman atau persetujuan.
“Tapi sampai sekarang hubungan kami baik dan saling menghormati antara satu dengan lain,” ujarnya.
Terdahulu, Sharnaaz Ahmad tampil memberi teguran terbuka kepada pempengaruh atau pencipta kandungan yang sering menghasilkan kandungan 'takut bini'.
Shaarnaz menjelaskan bahawa dia memahami perubahan zaman yang semakin memberi tumpuan kepada pencipta kandungan, malah dia akui turut terhibur dengan kandungan yang dihasilkan.
Bagaimanapun, terdapat kandungan yang tidak wajar dijadikan bahan hiburan.