Sekilas
- Mierul Aiman menegaskan peranan penting pihak pengurusan dalam menguruskan kerjaya dan perniagaannya sebagai pelakon, termasuk urusan bayaran dan pemasaran.
- Beliau lebih selesa pihak pengurusan yang mengendalikan perbincangan bayaran supaya dapat fokus sepenuhnya pada lakonan dan kempen penjenamaan.
- Mierul menjelaskan keputusan akhir mengenai bayaran dibuat bersama pihak pengurusan tanpa melibatkan isu peribadi, memastikan persetujuan kedua-dua pihak.
Pelakon, Mierul Aiman mengakui pihak pengurusan memainkan peranan penting dalam memastikan urusan berkaitan kerjaya dan perniagaannya sebagai anak seni berjalan dengan lebih teratur.
Menurut Mierul atau nama lengkapnya Muhammad Amirul Aiman Norazman, 27, kewujudan pihak pengurusan bukan sahaja membantu menguruskan urusan bayaran, malah berperanan sebagai orang tengah dalam aspek pemasaran dan rundingan berkaitan kerjayanya.
“Saya percaya pihak pengurusan merupakan struktur penting dalam bisnes hiburan ini. Saya ada pengurusan yang menguruskan bahagian-bahagian perniagaan termasuk bayaran, sekali gus membantu menjadi orang tengah dalam teknik pemasaran.
“Jadi saya hanya perlu fokus untuk bekerja, berlakon dan terus berkarya,” katanya kepada Gempak.
Mierul berkongsi perkara itu ketika ditemui pada tayangan perdana episod pertama drama Kudrat 1968 yang diadakan di TGV KLCC, Kuala Lumpur pada Khamis.
Dalam pada itu, Mierul berkata dia lebih selesa sekiranya urusan berkaitan bayaran dibincangkan oleh pihak pengurusan supaya dirinya dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tanggungjawab sebagai pelakon.
“Saya rasa lebih baik pihak pengurusan yang berbincang soal bayaran kerana saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai anak seni.
“Saya lebih memberi keutamaan dalam bahagian lakonan atau kempen penjenamaan, selebihnya saya serahkan kepada pihak pengurusan,” ujarnya.
Ditanya sama ada dia menyerahkan sepenuhnya kepada pihak pengurusan dalam menentukan jumlah bayaran bagi sesuatu tawaran, Mierul menjelaskan bahawa setiap keputusan tetap dibuat menerusi perbincangan bersama.
“Saya serahkan segala perbincangan dan satu kata putus menentukan segalanya termasuk jumlah bayaran.
“Macam mana sekali pun, saya percaya semua perbincangan itu akan dipersetujui kedua-dua belah pihak tanpa melibatkan isu peribadi,” katanya lagi.
Terdahulu, pelakon dan pengarah, Nam Ron berkongsi mengenai dakwaan terdapat pelakon baharu yang meminta bayaran sehingga RM100,000 untuk penglibatan dalam sebuah filem.
Menurut Nam Ron, adalah sukar bagi seseorang pelakon menerima bayaran pada kadar tinggi untuk kali pertama terlibat dalam filem walaupun sudah mempunyai pengalaman menerusi lakonan drama.