Pelakon, Syafiq Kyle mengakui menjadi individu yang aktif di media sosial sememangnya mempunyai kelebihan dan kekurangannya tersendiri, lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan isu tular.
Bagaimanapun, Syafiq menegaskan isterinya yang juga pelakon, Mimi Lana telah melakukan yang terbaik dalam menangani situasi tersebut secara berhemah dan profesional.
“Aktif di media sosial, ada pros and cons dia. Apabila Mimi buat begitu, ada orang yang masuk dan memberitahu, ada statement-statement sekian-sekian kan. Terlalu aktif ataupun tidak aktif di media sosial pun ada pros and cons dia. So orang kata jika kita berani expose, kita juga berani untuk buat confrontation.
“So saya rasa dia dah buat damage control yang baik. Dia pun dah melakukan personal... personal communication dengan mekap artis tersebut kan. So tak ada apa pun. Tak ada apa yang kita nak susahkan,” katanya kepada Gempak.
Mengulas lanjut mengenai isu pembayaran yang sering menjadi punca salah faham dalam industri seni, Syafiq mengakui perkara tersebut boleh berlaku secara tidak sengaja terutamanya melibatkan jadual kerja yang padat dan pengurusan oleh pihak ketiga.
Menurut Syafiq, situasi sebegitu sepatutnya diselesaikan secara tertutup dan peribadi tanpa perlu diviralkan di media sosial.
“Bab bayaran ni mungkin kita ada pengurusan, ada PA, ada manager. Kadang-kadang memang terlepas pandang. Production pun ada masa terlepas pandang pembayaran kru. Apatah lagi kita yang hari-hari terlibat dengan kempen, photoshoot dan penggambaran.
“Saya rasa lebih baik selesaikan secara personal, melalui WhatsApp atau DM, daripada sebarkan di media sosial. Sebab benda tu akan berpusing dan akhirnya boleh makan diri kita sendiri.
“Kita ni manusia, tak selalunya sempurna. Kalau kita buka aib orang pasal hutang, lambat-laun mungkin aib kita pula yang dibuka. Kadang-kadang benda tu simple saja. Kita terlupa, orang pun terlupa nak minta. Bila jumpa muka baru teringat,” jelasnya.
Terdahulu, seorang jurusolek selebriti mendedahkan di platform Threads bahawa Mimi Lana didakwa masih belum melunaskan bayaran perkhidmatan solekan.
Bagaimanapun, Mimi difahamkan telah menghubungi jurusolek berkenaan secara peribadi dan isu tersebut berjaya diselesaikan dengan baik.