Sekilas
- Zohran Kwame Mamdani menjadi Datuk Bandar Muslim pertama New York City selepas upacara angkat sumpah yang berlangsung secara sederhana di stesen kereta api bawah tanah lama.
- Beliau mengangkat sumpah dengan meletakkan tangan di atas tiga naskhah al-Quran, termasuk satu naskhah berusia 200 tahun dari Perpustakaan Awam New York.
- Mamdani dikenali sebagai aktivis progresif dan kemenangannya mencerminkan perubahan politik dengan sokongan kuat daripada golongan muda dan komuniti minoriti di New York.
Zohran Kwame Mamdani mencipta sejarah apabila menjadi pemimpin Muslim pertama yang dilantik sebagai Datuk Bandar New York City (NYC) pada Rabu.
Upacara angkat sumpah rasmi berlangsung dalam suasana sederhana di sebuah stesen kereta api bawah tanah lama, sebelum satu majlis perasmian terbuka diadakan di hadapan ribuan penduduk kota pada sebelah petang.
Lebih manis, Mamdani dilaporkan mengangkat sumpah dengan meletakkan tangan di atas tiga naskhah al-Quran dengan dua daripadanya milik keluarganya manakala satu lagi naskhah berusia 200 tahun yang dipinjam khas daripada Perpustakaan Awam New York (NYPL).
“Saya berdiri di sini sebagai anak imigran, sebagai seorang Muslim, dan sebagai rakyat biasa yang percaya bahawa New York adalah milik semua,” kata Mamdani.
Sebelum ini, Mamdani merupakan anggota Dewan Perundangan Negeri New York dan dikenali sebagai aktivis progresif yang memperjuangkan isu perumahan mampu milik, reformasi sistem pengangkutan awam, dan keadilan sosial.
Kemenangannya dalam pilihan raya 2025 menandakan perubahan arus politik di kota itu, dengan sokongan kuat daripada golongan muda dan komuniti minoriti.
Pelantikan Mamdani juga disambut baik oleh pelbagai lapisan masyarakat sekaligus mencerminkan kepelbagaian budaya dan agama yang menjadi teras kepada identiti New York.
Sumber: Awani