Skip to main content

Berita Tempatan

"Jangan Tunggu Kita Sempurna Untuk Berubah" - Yatt Hamzah

"Jangan Tunggu Kita Sempurna Untuk Berubah" - Yatt Hamzah

Sekilas

  • Yatt Hamzah mengingatkan wanita agar tidak menunggu kesempurnaan sebelum berubah dan mendekatkan diri kepada Allah, kerana setiap langkah kecil perlu dihargai.
  • Dalam program Bidadari Dambaan Syurga, Yatt berkongsi tentang perjalanan wanita dalam mencari makna hidup dan pentingnya usaha berterusan dalam hijrah.
  • Program dua hari ini turut menawarkan aktiviti kerohanian dan hiburan, bertujuan memperkukuh ilmu dan membina hubungan dengan Allah sambil mengajak wanita memulakan perubahan.
Advertisement

Pelakon dan pendakwah Yatt Hamzah mengingatkan golongan wanita agar tidak menunggu sehingga diri dirasakan cukup sempurna sebelum mahu berubah dan kembali mendekatkan diri kepada Allah.

Menurut Yatt, setiap langkah kecil menuju ke arah kebaikan perlu dihargai kerana proses hijrah setiap individu berbeza dan tidak wajar dibandingkan antara satu sama lain.

Advertisement

“Jangan tunggu kita sempurna untuk berubah. Kalau hari ini kita baru mampu buat satu langkah kecil menuju Allah, buatlah.

“Jangan rasa terlalu banyak dosa, terlalu jauh, terlalu tua atau terlalu terlambat untuk kembali,” katanya.

Yatt berkata demikian ketika mengulas penglibatannya dalam program Bidadari Dambaan Syurga yang bakal berlangsung pada 4 dan 5 September ini di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maran, Pahang.

Menurut Yatt, ada individu yang mampu melalui perubahan dalam tempoh singkat, namun ada juga yang memerlukan masa bertahun-tahun untuk sampai ke satu tahap tertentu.

Bagaimanapun, perkara paling penting adalah untuk tidak berhenti berusaha.

“Yang penting, jangan berhenti berjalan. Saya selalu percaya, Allah bukan hanya melihat sejauh mana kita sudah sampai, tetapi Allah melihat usaha kita untuk kembali kepada-Nya.

“Kalau hari ini hati kita terdetik nak berubah, jangan abaikan rasa itu. Mungkin itu sebenarnya jemputan Allah,” katanya.

Dalam pada itu, Yatt turut menegaskan menjadi wanita solehah tidak bermaksud seseorang perlu mencapai kesempurnaan dalam setiap aspek kehidupan.

Sebaliknya, seseorang wanita masih boleh menjadi kuat, berilmu, bekerja, berniaga serta mengejar impian dan cita-cita, namun dalam masa sama tetap menjaga hubungan dengan Allah.

Mengulas mengenai pengisian yang bakal dikongsikan, Yatt berkata dia mahu membawa peserta melihat perjalanan seorang wanita dalam mencari makna kehidupan, termasuk melalui fasa perubahan, jatuh bangun serta usaha menyusun semula keutamaan.

“Saya juga mahu menyentuh tentang realiti kehidupan wanita. Kadang-kadang kita nampak seseorang itu baik, kuat dan tenang di luar, tetapi kita tidak tahu apa yang sedang dia perjuangkan di dalam hati.

“Sebab itu saya mahu perkongsian ini lebih kepada sebuah perjalanan bersama, bukan sekadar saya bercakap dan para peserta mendengar,” katanya.

Yatt berkata program berkenaan juga diharap dapat membuka ruang kepada peserta untuk bermuhasabah mengenai perkara yang dikejar dalam kehidupan, insan yang mahu dibahagiakan serta destinasi akhir yang ingin dituju.

“Kita akan sama-sama bermuhasabah tentang apa yang kita kejar, siapa yang kita mahu bahagiakan dan akhirnya, rumah mana yang kita mahu diami untuk selama-lamanya,” katanya.

Dalam masa sama, Yatt berharap penglibatannya dalam Bidadari Dambaan Syurga tidak sekadar menjadi ruang berbicara mengenai syurga, sebaliknya mampu mencetuskan keinginan untuk melakukan perubahan selepas peserta kembali menjalani kehidupan masing-masing.

“Mudah-mudahan kita bukan hanya bercakap tentang syurga, tetapi kita pulang dengan semangat untuk menjadi wanita yang sedang menuju ke sana.

“Kita mungkin belum menjadi bidadari yang sempurna, tetapi jangan berhenti berusaha menjadi wanita yang dirindui syurga,” katanya.

Program Bidadari Dambaan Syurga di bawah program apresiasi Pahang 1st itu turut menampilkan Ustazah Sharifah Khasif dan Ustazah Aqidah Mawardi sebagai panel.

Selain pengisian kerohanian, program dua hari berkenaan turut menawarkan aktiviti seperti Food Festival, bacaan Yasin dan cabutan bertuah, selain persembahan khas daripada penyanyi Zizi Kirana.

Program berkenaan diadakan sebagai wadah buat golongan wanita memperkukuh ilmu, melakukan muhasabah dan membina semula hubungan dengan Allah, sambil membawa mesej bahawa perubahan tidak semestinya bermula dengan langkah besar, sebaliknya dengan keberanian untuk bermula.

Anda mungkin berminat dengan

PERFUME PARADISE EXCLUSIVE HQ SPECIAL EDITION FOR HER FOR HIM 30ML ORIGINAL HQ

PERFUME PARADISE EXCLUSIVE HQ SPECIAL EDITION FOR HER FOR HIM 30ML ORIGINAL HQ

LAVEN Gradient Rayon Cotton Scarf Wide Soft Brimmed Double Stitch Modal Cotton Scarf Muslim Women Shawl

LAVEN Gradient Rayon Cotton Scarf Wide Soft Brimmed Double Stitch Modal Cotton Scarf Muslim Women Shawl

Maybelline Super Stay Vinyl Ink Transfer Proof Shine Longwear Lipstick - 16H Longwear Longlasting, Glossy, Instant Shine

Maybelline Super Stay Vinyl Ink Transfer Proof Shine Longwear Lipstick - 16H Longwear Longlasting, Glossy, Instant Shine

Zara Awliya | Telekung TRAVEL NAOMI [Free Bag Telekung]

Zara Awliya | Telekung TRAVEL NAOMI [Free Bag Telekung]

Luxurious Extra Hold Hair Spray 100ml 420ml (For West Malaysia Only) Travel Mini Hair Spray

Luxurious Extra Hold Hair Spray 100ml 420ml (For West Malaysia Only) Travel Mini Hair Spray

PERFUME VIYOUNA MINYAK WANGI SAIZ PERJALANAN 12ML | TAHAN LAMA DAN MESRA SOLAT

PERFUME VIYOUNA MINYAK WANGI SAIZ PERJALANAN 12ML | TAHAN LAMA DAN MESRA SOLAT

Must Watch Video

Advertisement