Sekilas
- Jenna Ortega mengumumkan hasrat untuk berehat seketika daripada dunia televisyen selepas tamatnya siri terakhir Wednesday.
- Dia mahu mencuba pengalaman baharu dan memberi ruang untuk perkembangan kerjaya yang berbeza selepas bertahun-tahun berlakon dalam siri televisyen.
- Walaupun penggambaran musim ketiga Wednesday sudah selesai, tiada pengumuman rasmi mengenai tarikh tayangan atau penglibatan Ortega dalam musim tersebut.
Bintang Hollywood, Jenna Ortega memberitahu ingin berehat daripada televisyen selepas siri terakhir Wednesday ditayangkan.
Menurutnya, keputusan tersebut diambil selepas berasa dirinya kerap ‘melompat’ daripada satu siri ke siri televsiyen yang lain. Oleh yang demikian, dia ingin meneroka perkara baharu yang disifatkan akan memberi pengalaman berbeza dalam kehidupannya pada masa akan datang.
Perkara tersebut dikongsikan Ortega ketika ditemu bual menerusi podcast Happy Sad Confused. Ortega ditanya ditanya sama ada dia berminat untuk menyertai satu lagi francais filem atau televisyen sebelum mendedahkan mempunyai rancangan untuk berehat.
“Sebenarnya, saya tidak banyak menerima tawaran untuk menyertai francais. Apa yang ditakdirkan untuk saya akan datang dengan sendirinya.
“Saya rasa selepas Wednesday, saya mungkin akan berehat daripada televisyen buat sementara waktu.
“Saya sudah bertahun-tahun berlakon dalam siri televisyen. Sejak kecil, saya berpindah dari satu siri ke siri yang lain dan sekarang saya mahu memberikan ruang untuk mencuba perkara baharu,” katanya seperti dilaporkan The Hollywood Reporter.
Bagaimanapun, kenyataan tersebut tidak bermakna Wednesday bakal berakhir menerusi musim ketiganya atau Ortega akan meninggalkan siri berkenaan.
Malah sehingga kini, tiada pengumuman rasmi dibuat mengenai penamat siri tersebut mahupun keputusan Ortega untuk menarik diri daripada projek berkenaan.
Namun, Ortega sebelum ini turut mencetuskan persoalan apabila menerusi temu bual bersama majalah Esquire pada Ogos lalu apabila mengakui mula memberikan lebih perhatian terhadap hala tuju kerjaya dan kehidupannya.
Katanya, perubahan itu mula dirasai sejak setahun kebelakangan ini, terutama ketika siri Wednesday memasuki fasa penting dan dia bersedia melangkah ke peringkat baharu dalam kehidupan serta kerjayanya.
Malah, pada 2023, Ortega pernah memberitahu The Sunday Times impian sebenarnya adalah untuk lebih banyak terlibat dalam filem berbanding siri televisyen.
“Saya sudah terlalu banyak berlakon dalam siri televisyen sepanjang hidup saya. Apa yang saya mahukan selama ini hanyalah berlakon dalam filem,” katanya ketika itu.
Sebelum mencipta fenomena menerusi Wednesday pada 2022, Ortega terlebih dahulu membintangi beberapa siri televisyen termasuk Jane the Virgin dan Stuck in the Middle.
Kejayaan musim pertama Wednesday, selain penglibatannya dalam filem seram Scream dan X, melonjakkan nama Ortega sebagai antara pelakon muda paling mendapat permintaan di Hollywood.
Populariti tersebut sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk pelakon itu membintangi filem layar lebar.
Ketika ini, Ortega sedang mempromosikan filem arahan Taika Waititi berjudul Klara and the Sun. Dalam filem berkenaan, dia membawa watak teman pendamping buatan manusia yang berlakon bersama Amy Adams.
Selain itu, Ortega turut membintangi filem thriller komedi gelap The Gallerist arahan Cathy Yan yang ditayangkan di Festival Filem Sundance awal tahun ini. Dia juga bakal muncul dalam filem fantasi sains arahan J.J. Abrams berjudul The Great Beyond yang dijadualkan menemui penonton pada 1 Oktober 2027.
Ortega juga dilaporkan turut terlibat dalam pembangunan semula filem thriller Single White Female sementara penggambaran musim ketiga Wednesday dilaporkan sudah selesai, namun tarikh tayangan rasmi masih belum diumumkan.
Siri berkenaan dijangka kembali menemui penonton sekitar pertengahan hingga penghujung 2027.