Sekilas
- Azhan Rani yakin Noorkhiriah yang menutup akaun Instagramnya berada dalam keadaan baik dan mungkin hanya mahu berehat seketika dari media sosial.
Hubungan Azhan dan Noorkhiriah lebih kepada urusan kerja dan mereka tidak berhubung setiap hari, hanya ketika ada projek bersama.
Pelakon, Azhan Rani yakin rakan seperjuangan dalam industri seni iaitu Noorkhiriah yang dikatakan ‘menghilangkan diri’ daripada sosial media berada dalam keadaan baik.
Menurut Azhan, 50, keputusan pelakon terbabit menutup akaun Instagram bukan sesuatu yang perlu dibimbangkan kerana mungkin sekadar ruang mahu berehat seketika daripada dunia maya.
“Bagi saya, tidak perlu risau sebab tiada masalah pun. Saya sendiri pernah tutup akaun media sosial dan kemudian buka akaun baharu. Ada masa seseorang itu rasa rimas dan mahu berehat sekejap.
"Mengenalinya, dulu pun dia pernah umum nak berhenti berlakon tetapi akhirnya kembali ke set. Emosi manusia ini adakala berubah, lebih-lebih lagi wanita.
"Paling penting sekarang kita tahu dia okey, itu sudah cukup. Kalau Noorkhiriah hilang, orang pertama yang bimbang tentu suaminya," katanya.
Azhan berkata demikian ketika ditemui pada majlis penghargaan filem Chelot, baru-baru ini.
Mengulas mengenai persahabatan mereka yang dianggap rapat oleh sesetengah pihak, Azhan berkata hubungan mereka lebih kepada urusan kerja.
“Sebenarnya kami baik apabila ada projek bersama. Bukannya setiap hari kami berhubung atau WhatsApp.
“Kenapa buat begitu kalau tiada urusan? Masing-masing ada lingkaran sahabat sendiri.
“Cuma apabila timbul isu dia tutup media sosial ini, ramai bertanya kepada saya. Jawapan saya tetap sama, kami tidaklah serapat disangka kerana hanya akrab dalam naskhah sahaja,” ulasnya.
Berkongsi lebih lanjut, Azhan berkata kali terakhir dia berkomunikasi dengan Noorkhiriah adalah ketika mereka sama-sama membintangi drama 1000 Hari.
Katanya, mereka juga masih berada dalam satu kumpulan WhatsApp bersama kru produksi drama berkenaan, sekali gus membolehkannya mengetahui perkembangan rakannya itu.
“Kami ada WhatsApp produksi drama 1000 Hari. Jadi, apabila dia tukar nombor telefon baharu dan nombor lama sudah tidak aktif, kami tahu dari situ.
“Kawan lain dalam grup sama ada maklumkan bahawa dia sekarang sibuk menjalani penggambaran di Pahang. Maknanya dia okey," katanya.
Terdahulu, akaun Instagram milik pelakon wanita itu sudah beberapa bulan tidak aktif sehingga mengundang pelbagai spekulasi.