Sekilas
- Pelakon Eric Fuzi menegaskan bahawa pengaruh negatif terhadap kanak-kanak bukan hanya datang dari drama dan filem, tetapi juga budaya pengguna media sosial yang kurang beradab.
- Eric menyeru semua pihak, termasuk penggiat seni dan masyarakat, untuk bersama-sama memperbaiki tingkah laku dan kandungan yang kurang wajar dalam industri seni dan kehidupan seharian.
- Isu ini timbul selepas kontroversi drama iQIYI yang memaparkan kisah poligami dan hubungan songsang, mencetuskan perdebatan di platform Threads.
Pelakon Eric Fuzi memberi pendapat mengenai isu kandungan drama dan filem yang didakwa boleh memberikan pengaruh terhadap golongan kanak-kanak.
Menurut Eric, masyarakat tidak seharusnya hanya meletakkan kesalahan kepada industri seni apabila membincangkan soal pengaruh terhadap generasi muda.
Sebaliknya, budaya pengguna media sosial hari ini juga perlu diberi perhatian kerana sikap segelintir individu yang gemar meninggalkan komen tanpa memikirkan adab dan kesannya kepada orang lain.
“Kalau nak kata tentang budaya dalam filem atau drama boleh rosakkan budak, budaya cara korang bermain media sosial ini pun dah menyeramkan dan boleh mendidik budak-budak jadi tak ada adab, tak ada sopan santun dan tak ada hormat-menghormati.
“Komen sesuka hati, body shaming sesuka hati, sindir-menyindir... hilang kesopanan dan tatasusila kemanusiaan.
“Jadi, sama-samalah kita betulkan mana yang silap, baik dalam bidang seni, drama dan filem, dan juga perilaku kita semua sebagai MANUSIA!” katanya.
Bagaimanapun, Eric menjelaskan kenyataannya itu bukan ditujukan untuk mempertahankan atau menyokong mana-mana drama.
Sebaliknya mahu mengajak semua pihak termasuk penggiat industri seni dan masyarakat supaya sama-sama memperbetulkan perkara yang dianggap kurang wajar.
“Saya tak tuju dan backup mana-mana drama. Konteks saya lain. Saya malah mengajak kita betulkan apa yang salah, termasuk dalam bidang seni ini,” jelasnya.
Terdahulu, kecoh di platform Threads berkenaan drama siaran saluran penstriman iQIYI yang didakwa terlampau berani apabila menyajikan kisah membabitkan hubungan songsang.
Drama memaparkan konflik emosi dan kelainan membabitkan poligami ini bermula apabila Azura lakonan Uqasha Senrose cuba menjadi isteri sempurna, namun suaminya, Adli (Aliff Aziz) untuk berkahwin baru dengan Nikita (Elisya Sandha).
Keadaan menjadi semakin tegang sebaik kedua-dua isteri dibawa tinggal sebumbung sehingga mencetuskan krisis besar dan berlaku kejadian misteri yang mengorbankan nyawa Adli.