Sekilas
- Kamal Adli tidak tahu mengenai dakwaan insiden kurang menyenangkan dengan seorang pelakon lelaki semasa acara Keretapi Sarong 2026 dan menyifatkan suasana ketika itu baik-baik sahaja.
- Kamal mengakui sudah biasa disalah kenal sebagai selebriti lain dan tidak mempunyai masalah dengan situasi tersebut, malah menghargai sokongan peminat yang mahu bergambar dengannya.
- Sebelum ini, seorang wargamaya mendakwa berdepan insiden kurang menyenangkan dengan pelakon lelaki yang tidak berpuas hati kerana tidak dikenali, namun identiti pelakon tersebut tidak didedahkan.
Pelakon, Kamal Adli mengakui tidak mengetahui mengenai hantaran seorang individu yang mendakwa berlakunya insiden kurang menyenangkan dengan seorang pelakon lelaki ketika menyertai acara Keretapi Sarong 2026 pada Rabu lalu.
Malah Kamal atau nama lengkapnya Ahmad Kamal Ahmad Adli menyifatkan keadaan serta situasi sepanjang acara tersebut dalam keadaan yang baik-baik sahaja.
“Saya tak tahu mengenai hantaran tersebut. Ada apa-apa yang berlaku ke? Ada cerita?
“Waktu itu saya bertiga bersama Bell Ngasri dan juga Fimie Don malah semua orang dalam keadaan yang okay dan baik saja,” katanya kepada Gempak.
Ketika ditanya sekiranya berdepan dengan situasi yang didakwa wargamaya itu, pelakon filem Abang Long Fadil ini mengakui dia tidak mempunyai masalah dengan perkara tersebut.
Malah, Kamal memaklumkan dia juga sudah lali berdepan dengan situasi bila mana ada individu yang tersalah mengenalinya sebagai selebriti lain.
“Oh, saya tak ada masalah. Saya okey saja. Bukan semua orang tahu kita ni siapa, kan? Saya rasa tak ada masalah, tak ada isu pun kalau dia tak kenal.
“Kadang-kadang panggil saya salah nama lah, panggil saya Farid Kamil lah, panggil saya Remy Ishak lah. Saya pun balik dan melihat cermin, macam, ‘Oh, ada rupa Remy Ishak juga aku ni tadi.’” katanya sambil berseloroh.
Tambah Kamal, kesudian peminat yang menegur dan mahu bergambar dengannya merupakan satu perkara yang perlu dihargai.
Ujarnya, sokongan daripada orang ramai merupakan asbab dirinya masih berada dalam industri hiburan sehingga hari ini.
“Siapa yang tegur, kalau dia sudi ambil gambar dengan kita pun dah kira okey dah. Tak ada masalah pun.
“Saya sebagai dah lama juga dalam industri, saya menghargai semua orang yang sudi nak bergambar dengan saya, saya appreciate sangat.
“Mereka ni juga lah punca untuk saya berada di sini. Jadi tak ada isu pun, layan semua orang,” ujarnya.
Terdahulu, tular satu hantaran dibuat seorang wargamaya yang mendakwa berdepan insiden kurang menyenangkan dengan seorang pelakon lelaki ketika menyertai acara Keretapi Sarong 2026.
Menerusi perkongsian di Threads, individu berkenaan mendakwa pelakon tersebut tidak berpuas hati selepas menyedari dirinya tidak dikenali.
Menurut individu itu lagi, dia memilih untuk tidak mendedahkan identiti pelakon berkenaan kerana mendakwa terdapat ramai saksi yang menyaksikan kejadian tersebut.