Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera semasa melaksanakan pemantauan kawalan operasi pemotongan bekalan elektrik di Kampung Sungai Baru di sini pada Khamis.
Sulizmie dilihat mengalami luka berdarah di bahagian muka ketika cuba suraikan penduduk yang mendesak masuk ke kawasan operasi pemotongan bekalan elektrik di beberapa rumah di kampung berkenaan.
Advertisement
Anggota polis bertugas turut mengarahkan penduduk yang berkumpul untuk bersurai.
Turut kelihatan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP).
Sebelum itu, sekumpulan penduduk cuba merempuh masuk halangan anggota polis yang bertugas dalam operasi terbabit.
Bagaimanapun, cubaan merempuh masuk itu berjaya dikawal anggota polis.
Difahamkan kerja-kerja pemotongan elektrik membabitkan beberapa rumah berkenaan bermula kira-kira jam 9 pagi tadi.
Sinar Harian difahamkan, beberapa laluan ke kawasan operasi dikawal ketat oleh anggota polis sejak jam 7 pagi. Malah, pengamal media juga tidak dibenarkan menghampiri kawasan berkenaan.
Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru, dengan proses pengambilan tanah bermula sejak 2016.
Sesetengah penduduk terutama penghuni rumah teres tidak bersetuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi ditetapkan Pejabat Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Sumber: Sinar Harian