Sekilas
- Kim Kardashian berkongsi pengalamannya hidup solo selama lima tahun selepas berpisah dengan Kanye West, memberi tumpuan kepada anak-anak dan projek peribadi.
- Kim enggan mengulas lanjut mengenai hubungannya dengan pelumba F1, Lewis Hamilton, walaupun mereka sering dilihat bersama sejak Februari 2026.
- Pasangan ini dilihat romantik di acara pembukaan Lucas Museum of Narrative Art baru-baru ini, manakala Kim sebelum ini pernah bercinta dengan Pete Davidson.
Bintang realiti dan usahawan, Kim Kardashian mengimbas kembali tempoh lima tahun hidupnya sebagai wanita yang tidak memiliki pasangan atau solo selepas berpisah dengan bekas suami, Kanye West.
Dalam temu bual bersama majalah Style terbitan The Sunday Times, Kim, 45, berkata tempoh bersendirian itu memberi dia ruang untuk fokus kepada anak-anak serta projek yang benar-benar dekat dengan hatinya.
“Saya benar-benar hidup solo selama lima tahun dan ia terasa sangat baik. Saya dapat memberikan tumpuan kepada anak-anak serta projek yang benar-benar ingin saya lakukan.
“Saya langsung tidak rasa tergesa-gesa. Saya juga tidak rasa seperti ada kekosongan dalam diri. Saya rasa saya memerlukan masa untuk diri sendiri. Saya mahu pulih sepenuhnya dan memperbaiki diri.
“Saya belum bersedia untuk membuka hati dan ketika itu langsung tidak memikirkannya. Alam semesta akan bekerja untuk kita apabila kita membiarkannya,” katanya.
Ditanya mengenai hubungannya dengan pelumba Formula 1 (F1), Lewis Hamilton, 41, Kim bagaimanapun memilih untuk tidak mengulas lanjut.
“Dengan penuh rasa hormat, saya rasa lebih baik tidak bercakap mengenainya,” ujarnya.
Kim dan Hamilton mula dikaitkan pada Februari 2026 selepas mereka dilihat mengadakan pertemuan romantik di Paris.
Sejak itu, pasangan berkenaan dilihat menghabiskan masa bersama termasuk bercuti di Tokyo bersama empat cahaya mata Kim selain berbasikal bersama di London.
Kim juga pernah memberikan sokongan kepada Hamilton ketika pelumba itu beraksi pada Grand Prix Monaco.
Pada April lalu, kedua-duanya seolah-olah mengesahkan hubungan mereka apabila Hamilton memuat naik video memaparkan mereka bersama menaiki Ferrari F40 miliknya ketika berada di Tokyo.
Terbaharu, pasangan itu menghadiri acara pembukaan Lucas Museum of Narrative Art di Los Angeles pada 19 September lalu.
Menerusi satu video yang dikongsikan E! News, Kim dilihat mengelap gincu pada bibir Hamilton selepas mereka berkongsi ciuman romantik pada acara berkenaan.
Sebelum menjalinkan hubungan dengan Hamilton, Kim pernah bercinta dengan pelawak Pete Davidson selama sembilan bulan sebelum mereka berpisah pada Ogos 2022.
Kim dan West pula mempunyai empat cahaya mata iaitu North, 13, Chicago, 8, Saint, 10, dan Psalm, 7.
Kim memfailkan perceraian pada 2021 selepas beberapa siri pergolakan dalam rumah tangga mereka ketika West berdepan masalah kesihatan mental.