Skip to main content

Acara

"Kita Mahu Anak Muda Faham Etnik, Sejarah Di Sebalik Tarian" - Noraniza Idris

terma

Sekilas

  • TERMA 25 adalah program seni yang bukan sekadar pertandingan, tetapi platform pendidikan budaya untuk generasi muda memahami kepelbagaian etnik Malaysia.
  • Peserta diwajibkan mempersembahkan karya berasaskan lagu dan tarian etnik termasuk etnik jarang diketengahkan, bagi mendalami sejarah dan identiti budaya tersebut.
  • Program ini dirancang untuk berkembang ke peringkat Asia dan antarabangsa, membuka peluang seni etnik Malaysia dikenali di luar negara.

Ratu irama Malaysia dan etnik kreatif, Noraniza Idris melihat program TERMA 25 (Tarian Evolusi Etnik Rakyat Malaysia) yang dianjurkan kali kedua bukan sekadar sebuah pertandingan seni, tetapi medan pendidikan budaya yang menyeluruh bagi generasi muda Malaysia.

Dianjurkan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), TERMA 25 berlangsung selama tiga hari dan menghimpunkan bakat-bakat muda dari seluruh negara yang berpengalaman dalam seni tari dan nyanyian tradisional.

Kata Noraniza atau lebih mesra disapa Kak Ani, TERMA diwujudkan sebagai platform untuk merapatkan jurang pemahaman anak muda terhadap kepelbagaian etnik di Malaysia, yang sering terpinggir di sebalik arus moden dan komersial.

“Ramai anak muda hari ini cantik menari, sedap menyanyi, tetapi mereka tidak benar-benar faham etnik dan sejarah di sebalik persembahan itu. TERMA bukan hanya tentang siapa menang, tetapi tentang ilmu dan kesedaran,” jelasnya.

TERMA 25 mempertandingkan dua kategori utama, iaitu Bintang Irama Etnik dan Bintang Legasi Etnik Malaysia, melibatkan lebih 30 peserta yang melalui proses saringan ketat sebelum hanya 12 finalis terpilih ke peringkat akhir.

Berbeza dengan pertandingan seni lain, peserta TERMA diwajibkan mempersembahkan karya yang berasaskan lagu dan tarian etnik Malaysia, termasuk etnik-etnik yang jarang diketengahkan seperti Minangkabau, Bugis, Banjar dan lain-lain. Keperluan ini secara tidak langsung memaksa peserta membuat kajian, memahami latar belakang budaya dan menghormati identiti etnik yang dibawakan.

“Kita mahu mereka tahu bukan sekadar gerak tari, tetapi dari mana asalnya, apa maksudnya dan kenapa ia dicipta,” tambah Noraniza.

Mengulas tentang pemilihan peserta, Noraniza mengakui cabaran utama tahun ini ialah kekangan masa, dengan persiapan hanya sekitar dua minggu. Namun, kebanyakan peserta yang terlibat sudah biasa menyertai pertandingan seni, sekali gus memudahkan penganjur mengekalkan standard kualiti.

Dari segi ganjaran, hadiah yang ditawarkan adalah lebih sederhana berbanding tahun-tahun sebelum ini, dengan hadiah tertinggi sekitar RM3,000, sejajar dengan situasi ekonomi semasa. Namun, penganjur menegaskan nilai TERMA jauh melebihi hadiah wang tunai.

“Ilmu, pengalaman dan pendedahan itu lebih mahal daripada hadiah. Itu yang kita mahu tinggalkan kepada peserta,” katanya.

TERMA 25 tidak berhenti di peringkat kebangsaan. Penganjur kini sedang merangka perancangan untuk membawa program ini ke peringkat Asia dan antarabangsa, melibatkan sehingga 10 buah negara, sekali gus membuka peluang kepada seni etnik Malaysia untuk diperkenalkan ke peringkat global.

Malaysia akan terlebih dahulu memilih kumpulan dan peserta terbaik di peringkat kebangsaan sebelum diketengahkan ke luar negara sebagai wakil seni dan budaya tempatan.

Selain penganjuran TERMA, Noraniza Idris turut berkongsi komitmennya untuk terus memperkasa irama tradisional melalui penghasilan single baharu yang mengekalkan identiti warisan, namun disuntik elemen kontemporari agar lebih dekat dengan generasi muda.

“Kita tidak tinggalkan akar, tetapi kita evolusikan supaya seni tradisional terus hidup dan relevan,” ujarnya.

Must-Watch Video

Advertisement