Sekilas
- Penyanyi dan komposer Mohsein Kush kecewa apabila lagu ciptaannya didakwa menggunakan teknologi AI.
- Mohsein menegaskan proses menghasilkan lagu memerlukan masa, tenaga, dan komitmen tinggi, bukan sekadar guna AI.
- Netizen menasihatkan Mohsein supaya tidak ambil pusing dakwaan tidak berasas tersebut.
Penyanyi dan komposer, Mohsein Kush meluahkan rasa terkilan apabila lagu ciptaannya didakwa dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menerusi satu hantaran di Threads, Mohsein menegaskan proses menghasilkan sesebuah karya muzik bukan sesuatu yang dilakukan dengan mudah, sebaliknya memerlukan masa, tenaga dan komitmen yang tinggi.
“Penat-penat orang habiskan masa dalam studio, kejar deadline, bagi penuh harapan dan jiwa dalam sesebuah lagu, dia boleh kata kita buat lagu guna AI begitu saja.
“Mari sini, tepuk dahi sikit boleh? Buat-buat terpaling pandai sangat bercakaplah kadang-kadang korang ini. Zzz,” luahnya.
Meskipun tidak menyatakan secara terperinci pihak yang dimaksudkan, perkongsian tersebut dipercayai sebagai respons terhadap dakwaan bahawa karya muzik yang dihasilkannya menggunakan teknologi AI.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meminta Mohsein supaya tidak terlalu memikirkan dakwaan tersebut dan memilih untuk mengabaikan komen yang tidak berasas.