Sekilas
- Betty Banafe meluahkan kesal apabila anak-anaknya terlibat dalam konflik lama bersama bekas suaminya, Dargus, yang kini memasuki tahun kelapan.
- Dia berharap anak-anaknya tabah menghadapi ujian ini dan berjanji sentiasa ada untuk mereka walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk laporan palsu terhadapnya.
- Rakan selebriti dan netizen turut memberikan sokongan dan doa agar Betty dan anak-anak kuat melalui situasi sukar ini.
Pelakon, Betty Banafe meluahkan rasa kesal selepas anak-anaknya terpaksa terlibat dalam konflik bersama bekas suaminya, Dargus.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Betty berharap anak-anaknya tabah menghadapi ujian tersebut.
“Mama sentiasa ada untuk kamu berdua, sayang… Mama sayang kamu berdua sangat-sangat.
Jangan tertekan, ini semua hanyalah ujian buat kita, takdir yang perlu kita terima dengan hati terbuka.
"Pasti ada hikmah yang Allah janjikan. Maafkan mama atas segala kekurangan yang membuatkan kita melalui semua ini. Mama janji takkan tinggalkan kamu… kamu berdua adalah kekuatan dan cinta dalam hidup mama.” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rakan-rakan selebriti dan netizen juga mendoakan Betty serta anak-anak kuat melalui ujian ini.
Terdahulu, Betty Banafe meluahkan rasa kecewa apabila terpaksa berdepan pertikaian mahkamah yang berlarutan sejak bertahun-tahun melibatkan bekas suaminya.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Betty mendedahkan konflik tersebut kini memasuki tahun kelapan, dengan pelbagai kes difailkan terhadapnya.
Betty turut mempersoalkan tindakan bekas suaminya yang didakwa menetap di luar negara namun masih berusaha mendapatkan hak penjagaan penuh.
Dalam hantaran sama, Betty turut mendakwa wujud laporan palsu yang kepada pihak berkuasa yang dilaporkan oleh bekas suami dengan menyatakan anak-anaknya di dera olehnya dan pembantu.
Betty dan Dargus mendirikan rumah tangga pada 8 Disember 2012 dan dikurniakan sepasang cahaya mata, Julia Claire Dargus, 12, dan Bruce Dean Dargus, 9.