Sekilas
- Pelakon Nadzmi Adhwa kecewa dengan kecaman netizen yang salah anggap lokasi terowong mujahidin yang dilawatinya berada di Palestin, sedangkan ia sebenarnya di Syria.
- Beliau menjelaskan terowong tersebut adalah tinggalan sejarah perang di Syria yang sudah tidak digunakan dan lawatan dibuat dengan kebenaran penduduk tempatan.
- Nadzmi menegaskan pentingnya mendapatkan fakta tepat sebelum membuat tuduhan bagi mengelakkan salah faham dan fitnah terhadap reputasi pihak terlibat.
Pelakon, Nadzmi Adhwa meluahkan rasa kecewa susulan kecaman dan komen negatif yang diberikan segelintir pihak berhubung perkongsian mengenai lawatannya ke sebuah terowong mujahidin di Syria.
Menerusi hantaran di platform Threads, Nadzmi berkata terdapat kekeliruan dalam kalangan netizen yang mendakwa lokasi tersebut berada di Palestin.
Jelas Nadzmi lagi, lokasi itu sebenarnya terletak di Syria dan merupakan tinggalan sejarah peperangan yang tidak lagi digunakan.
Malah lawatan itu juga dibuat dengan kebenaran dan dibawa sendiri oleh rakyat tempatan di negara berkenaan.
“Terowong mujahidin itu adalah di Syria yang mana terowong ini telah ditinggalkan.
“Ia adalah bekas tinggalan perang dan sudah tidak digunakan lagi.
“Kami dibenarkan masuk dan bukan semua direzekikan sampai. Rakyat Syria yang bawa kami.
“Saya ulang bukan di Palestin tapi di Syria. Mereka sudah merdeka dan terowong ini salah satu yang mereka guna masa perang,” tegasnya.
Dalam hantaran yang sama, Nadzmi berharap orang ramai sepatutnya mendapatkan fakta yang tepat sebelum mengeluarkan sebarang tuduhan agar tidak menimbulkan salah faham serta fitnah yang boleh mencemarkan reputasi mana-mana pihak.
“Jangan komen jika tak tahu. Dan jangan bodohkan orang sesuka hati kamu.
“Kalau takde benda baik nak cakap baik kamu diam dari terus fitnah kami,” tegasnya.
Berikut merupakan perkongsian Nadzmi:

Sumber: Threads @nadzmiadhwa