Skip to main content

Hiburan

Konsert Black On White, Cromok-Barbarik Mantapkan Persiapan Untuk Bertemu Peminat - “Kami Mahu Pastikan…”

ASTROGEMPAK Cromox

Sekilas

  • Konsert Black On White: Cromok-Barbarik akan berlangsung pada 27 Jun 2026 di Idea Live Arena, Damansara dengan persiapan akhir yang sudah diperkemaskan oleh kedua-dua kumpulan.
  • Konsert ini menampilkan gabungan unik muzik metal Cromok dan karakter muzik Barbarik serta segmen tribute kepada kumpulan legenda Kembara.
  • Tiket dijual dalam beberapa kategori bermula RM175 hingga RM998 dan boleh dibeli melalui platform MyArteez dan Fantopia.

Menjelang penganjuran konsert Black On White: Cromok-Barbarik pada Sabtu, dua nama besar dalam arena muzik tempatan, Cromok dan Barbarik, memperkemas persiapan akhir menerusi sesi latihan bersama media  yang berlangsung pada Rabu. 

 

Sesi latihan tersebut menjadi sebahagian daripada persiapan akhir sebelum kedua-dua kumpulan tersebut beraksi di Idea Live Arena, Damansara, dalam sebuah konsert yang dijangka mempertemukan peminat tegar daripada dua kelompok muzik berbeza. 

 

Konsert Black On White: Cromok-Barbarik bukan sekadar menghimpunkan dua kumpulan berpengaruh di atas satu pentas, malah menjadi simbol pertembungan dua identiti muzik yang berbeza namun saling melengkapi. Gabungan elemen metal yang sinonim dengan Cromok dan karakter muzik Barbarik dijangka menghasilkan sebuah persembahan yang unik serta jarang disaksikan dalam landskap muzik tempatan.

 

Lebih menarik, konsert ini turut bakal menampilkan beberapa segmen khas termasuk persembahan tribute kepada kumpulan legenda Kembara sekitar lima buah lagu, sekali gus memberi nilai nostalgia kepada peminat selain menyuntik kelainan dalam keseluruhan perjalanan konsert.

 

Pemain gitar utama Cromok, Karl, berkata persiapan konsert kini berada pada tahap yang sangat baik, termasuk dari segi susunan persembahan, semakan masa dan aspek teknikal bagi memastikan kelancaran acara pada malam tersebut.

 

Menurutnya, konsert ini bukan sahaja menampilkan himpunan lagu-lagu pilihan, malah turut membawa elemen baharu yang dirancang khusus untuk memberi pengalaman berbeza kepada penonton.

 

“Segala persiapan sudah diperkemaskan termasuk dari segi teknikal dan susunan persembahan. Kami mahu pastikan penonton menerima satu pengalaman yang benar-benar berbaloi pada malam itu nanti,” katanya.

 

Sementara itu, pemain gitar Barbarik, JoBranko, berkata kolaborasi bersama Cromok merupakan satu eksperimen muzik yang sihat dan memberi ruang kepada kedua-dua kumpulan untuk meneroka dimensi persembahan yang lebih luas.

 

Katanya, gabungan dua kumpulan ini bukan dilakukan secara tergesa-gesa, sebaliknya sudah melalui perbincangan dan perancangan rapi bagi memastikan persembahan yang dibawa benar-benar mempunyai kekuatan tersendiri.

 

“Apabila kami bergabung, matlamat utama adalah untuk mencipta sesuatu yang unik dan memastikan momentum persembahan kekal bertenaga dari awal hingga akhir supaya penonton tidak bosan.

 

“Barbarik juga akan mempersembahkan single terbaharu kami secara langsung pada malam itu nanti,” katanya.

 

JoBranko turut menegaskan bahawa kehadiran dan sokongan peminat amat penting dalam memastikan kumpulan muzik tempatan terus aktif berkarya serta menghasilkan material baharu.

 

“Peminat harus datang jika mahu kami terus berkarya. Sokongan di lokasi konsert seperti inilah yang memberi semangat kepada kami untuk terus bergerak dan menghasilkan karya baharu,” katanya.

 

Dari aspek teknikal, konsert ini turut menggunakan pendekatan hybrid yang menggabungkan elemen analog dan digital bagi memastikan kualiti bunyi yang lebih kemas, mantap dan sistematik tanpa menghilangkan karakter asal muzik yang dibawakan oleh kedua-dua kumpulan.

 

Penganjuran konsert ini diharap dapat membuka lebih banyak ruang kepada kolaborasi muzik yang berani, segar dan berkualiti pada masa hadapan, sekali gus membuktikan bahawa muzik tempatan masih mempunyai kekuatan serta pengikut tersendiri.

 

Konsert Black On White: Cromok-Barbarik akan berlangsung pada 27 Jun 2026 di Idea Live Arena, Damansara. Peminat yang masih belum mendapatkan tiket disarankan berbuat demikian segera menerusi platform jualan tiket rasmi. 

 

Konsert ini menawarkan beberapa kategori tiket dengan harga bermula RM175 bagi CAT 1, RM195 (CAT 2), RM250 (CAT 3), RM350 (CAT 4), RM480 (CAT 5) dan RM998 bagi pakej VIP (CAT 6). Tiket boleh didapati menerusi laman web MyArteez bagi kategori CAT 1, CAT 2 dan CAT 6, manakala Fantopia pula menawarkan tiket bagi kategori CAT 3, CAT 4 dan CAT 5.

 

Konsert Black On White Cromok-Barbarik turut mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures melalui Dana Kandungan Kreatif Industri Muzik, Dana Persembahan Muzik.

Anda mungkin berminat dengan

adidas Football Spain 26 Home Fan Jersey Men Red JZ5780

adidas Football Spain 26 Home Fan Jersey Men Red JZ5780

Rezeki Bersama RM5

Rezeki Bersama RM5

Nike Club T-Shirt - Black

Nike Club T-Shirt - Black

PUMA Portugal '25 Home Men's Soccer Jersey

PUMA Portugal '25 Home Men's Soccer Jersey

adidas Football Argentina 26 Home Pre Match Jersey Men White JY9530

adidas Football Argentina 26 Home Pre Match Jersey Men White JY9530

adidas Football Arsenal 24/25 Third Jersey Men Blue IZ0114

adidas Football Arsenal 24/25 Third Jersey Men Blue IZ0114

Must Watch Video

Advertisement