Sekilas
- Lady Gaga mendedahkan dia menghadapi masalah kesihatan mental yang serius semasa penggambaran filem A Star Is Born dan persiapan Joanne World Tour pada 2017.
- Untuk mengatasi masalah itu, Gaga mengambil ubat litium dan terpaksa membatalkan siri jelajah konsert serta mendapatkan rawatan di pusat sakit jiwa.
- Gaga bersyukur kerana mendapat rawatan tepat pada masanya dan menganggap dirinya beruntung diberi peluang kedua dalam hidup.
Lady Gaga membuka lembaran kisah lukanya berdepan masalah gangguan kesihatan mental yang cukup buruk sewaktu menjalani penggambaran filem A Star Is Born sekaligus mempersiapkan siri Joanne World Tour pada 2017.
Menurut Gaga, di sebalik kejayaan filem tersebut, dia sedang berada pada titik terendah terutama dalam kesihatan mental. Untuk mengatasi permasalahan tersebut, penyanyi itu mengaku telah meminum litium.
“Saya menjalani penggambaran A Star Is Born sambil mengambil Litium,” katanya dalam temu bual bersama Rolling Stone.
Litium adalah ubat yang biasa diambil pesakit Bipolar yang mengalami fasa mania dan digunakan untuk menguruskan perubahan mood.
Kata Gaga, keluarga telah menyelamatkan dirinya daripada terus diselubungi masalah gangguan kesihatan mental yang semakin buruk dan sudah tidak mampu beraktiviti seperti biasa.
“Satu hari kakak menegur saya. Katanya dia sudah seperti kehilangan seorang adik.
“Dari situ ia membuat saya tersedar. Saya perlu membantu diri saya. Saya perlu pulih dan saya batalkan siri jelajah konsert yang dirancang,” akuinya.
Justeru kata pelantun lagu Abracadabra itu lagi, oleh kerana telah kehilangan fungsi hidup, dia ‘menghantar’ dirinya sendiri ke pusat sakit jiwa untuk mendapatkan rawatan.
“Saya perlu rehat dan memikirkan tentang apa yang terjadi saya benar-benar takut. Saya langsung tidak boleh beraktiviti.
“Sampai satu tahap saya fikir saya tidak akan sembuh dan itu sangat menakutkan,” imbasnya lagi.
Kendati, Gaga bersyukur kerana sempat menjalani rawatan. Malah penyanyi Bad Romance itu menyifatkan dirinya beruntung kerana diberi kesempatan kedua untuk hidup.
“Saya berasa sangat beruntung masih hidup,” ujar wanita berusia 39 tahun itu.