Kumpulan M-pop lelaki, ALPHA, tampil dengan single terbaharu berjudul Bujang, yang turut diangkat sebagai runut bunyi rasmi (OST) drama bersiri Satu, Dua… Dia? di platform penstriman Viu.
Lebih menarik, dua ahli kumpulan itu, Ariel Fesol dan Rizal Rasid, turut membintangi drama arahan Datuk Yusry Abdul Halim tersebut, sekali gus menjadikan kolaborasi ini lebih istimewa apabila bakat nyanyian dan lakonan mereka disatukan dalam satu projek.
Advertisement
Menurut Ariel, peluang untuk menyanyikan semula lagu popular itu merupakan satu penghargaan besar buat kumpulan mereka.
“Kami memang minat lagu Bujang sejak versi asal Hael lagi. Bila ditawarkan untuk bawakan semula sebagai OST, kami terus teruja! Versi ALPHA ni lebih bertenaga, youthful dan mencerminkan semangat kami sebagai kumpulan,” katanya.
Sementara itu, Rizal yang turut berlakon dalam drama berkenaan mengakui pengalaman kali ini memberi makna tersendiri.
“Rasa lain bila berlakon dalam drama yang guna lagu nyanyian sendiri. Kami faham emosi dan mesej lagu tu, jadi bila digabungkan dengan lakonan, hasilnya lebih natural,” katanya.
Bagi Daniel Sher, projek ini menjadi bukti bahawa ALPHA kini semakin matang dan berani bereksperimen.
“Kami pernah nyanyikan Bujang bersama Hael ketika konsert Hael Husaini & Repertoire. Jadi bila diberi kepercayaan rakam versi kami sendiri, ia peluang besar untuk buktikan kemampuan sebenar ALPHA,” katanya.
Lagu Bujang membawa tema ringan tentang seorang lelaki yang masih bujang sedangkan semua rakannya sudah berkahwin, disampaikan dengan nada bersahaja dan humor yang dekat dengan realiti anak muda.
Gabungan tujuh ahli ALPHA iaitu Daniel Sher, Izat Ibrahim, Rizal Rasid, Ariel Fesol, Araff, Ray-D dan Afiq Sky, menjadikan versi baharu ini lebih harmoni dan menyeronokkan untuk didengar.
“Lagu ni menggambarkan sisi fun dan jujur seorang lelaki yang bersedia tamatkan zaman bujangnya. Kami nak pendengar rasa enjoy tapi dalam masa sama faham mesejnya,” kata Afiq.
Diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment, lagu Bujang merupakan versi baharu daripada karya asal Hael Husaini bersama MFMF, yang pernah mencetus fenomena kira-kira lima tahun lalu.
Menerusi susunan muzik lebih moden dan upbeat, versi baharu Bujang mengekalkan elemen pop retro lagu asal namun disuntik dengan tenaga muda dan gaya tersendiri ALPHA.
Sejak kemunculan mereka empat bulan lalu, ALPHA kini dianggap antara kumpulan baharu paling aktif di bawah naungan Rocketfuel Entertainment dengan tiga single terdahulu, Mona Lisa, P. Ramlee Saloma dan Sahabat.
Lagu P. Ramlee Saloma berjaya mencatat lebih 100,000 strim harian di Spotify dan antara lima lagu tempatan yang pernah menduduki Carta Spotify Malaysia Daily Top Songs, selain kini meraih tempat pertama di Carta RIM Malaysia.
Setakat ini, capaian digital keseluruhan ALPHA sudah melebihi 338 juta tontonan, dengan lebih 3 juta strim audio di pelbagai platform.
Single Bujang boleh didengarkan di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube Music mulai 23 Oktober 2025, bertepatan dengan tayangan episod pertama Satu, Dua… Dia? di Viu.