Sekilas
- Nuha Bahrin kembali dengan single terbaru berjudul ‘Malam-Malam’ yang membawa tema kerinduan dan overthinking pada waktu malam.
- Lagu ini menggabungkan elemen bunyi Arabic dan Spanish dengan sentuhan pop Melayu moden, menampilkan emosi jujur dan raw dalam vokal Nuha.
- Single ini juga menandakan fasa baru untuk komposer Ezra Kong melalui projek kreatif ‘mimpi…’ yang fokus pada karya lebih dekat di hati dan inspirasi kisah nyata.
Penyanyi, Nuha Bahrin, yang dikenali menerusi lagu hit ‘Casablanca’, kini kembali dengan single terbaharu berjudul ‘Malam-Malam’.
Menurut Nuha, lagu ini membawa makna yang sangat peribadi, termasuk kerinduan terhadap diri sendiri.
“Nuha relate dengan lagu ini bila teringat versi diri yang lama. Malam-malam selalunya buat Nuha overthink dan ingat semua kesilapan selain rindu pada diri yang dulu, yang lebih yakin dan lebih carefree.
“Kadang-kadang kita lupa bagaimana untuk tidak terlalu peduli dengan pandangan orang lain, dan Nuha sangat rindukan perasaan itu,” ujarnya.
Tambah Nuha lagi, dalam menyampaikan emosi lagu ini, Nuha menekankan kejujuran dalam vokalnya, selari dengan nuansa muzik yang unik.
“Nuha cuba keluarkan rasa rindu itu dengan cara yang lebih raw dan jujur. Ada sedikit rasa geram, seperti tertanya ‘kenapa you tiba-tiba hilang?’
“Jadi dalam penyampaian, Nuha seimbangkan kelembutan dengan sedikit emosi dan longing supaya pendengar benar-benar dapat rasa kekosongan itu,” katanya.
Menggabungkan elemen bunyi Arabic dan Spanish dengan sentuhan moden pop Melayu, ‘Malam-Malam’ membawa pendengar ke dalam suasana yang tenang namun penuh emosi.
Lagu ini mengisahkan kerinduan terhadap seseorang yang jauh, berpaksikan memori sederhana tetapi bermakna.
Single ini turut menandakan fasa baharu buat komposer, Ezra Kong melalui projek mimpi… iaitu sebuah ruang kreatif untuk dirinya bereksperimen dan menghasilkan karya yang lebih jujur.
“Mimpi… adalah projek baru yang dimulakan sebagai ruang untuk semua penulisan saya ke hadapan. Ia menjadi tempat kolaborasi bersama artis, label, dan A&R untuk menyampaikan karya yang lebih jujur dan dekat di hati saya.
“Melalui projek seperti ‘Malam-Malam’, saya membawa pendekatan berbeza dari segi bunyi, susunan, dan lirik mencari titik temu antara citarasa saya dan jiwa artis itu sendiri,” jelasnya.
Sebagai komposer dan penerbit, Ezra turut berkongsi bahawa inspirasi lagu ini datang daripada kisah nyata.
“Inspirasi untuk lagu ini hadir ketika mendengar kisah rakan-rakan yang bertugas sebagai polis, di mana mereka bekerja di saat orang lain menyambut raya.
“Perasaan rindu itu kemudian saya olah menjadi sentuhan romansa buat mereka yang menunggu insan tersayang pulang dari tugas.
“Apabila lagu ini dipadankan dengan Nuha Bahrin, terasa jelas bahawa lagu ini menemukan pemilik yang tepat,” jelasnya.
‘Malam-Malam’ boleh didengari di semua platform penstriman digital bermula 24 April 2026.