Sekilas
- Megan Thee Stallion dikejarkan ke hospital selepas hampir pengsan ketika membuat persembahan 'Moulin Rouge! The Musical' di Broadway, New York.
- Doktor mengesahkan keletihan melampau, dehidrasi, vasokonstriksi dan paras metabolik rendah sebagai punca keadaan kesihatannya.
- Megan kini berehat dan akan kembali ke pentas Broadway pada Khamis untuk meneruskan peranannya sebagai Harold Zidler.
Penyanyi rap terkenal Amerika Syarikat (AS), Megan Thee Stallion, dikejarkan ke hospital selepas jatuh sakit ketika membuat persembahan 'Moulin Rouge! The Musical' di Broadway, New York, pada Selasa.
Megan, 31, memberitahu peminatnya menerusi media sosial pada keesokan hari bahawa dia hampir pengsan di atas pentas dan tidak mampu meneruskan persembahan walaupun telah berusaha sedaya upaya.
“Saya ingat saya akan pengsan di atas pentas. Saya cuba untuk teruskan persembahan tetapi badan saya tidak mengizinkan,” tulisnya.
Dia mengakui telah memaksa diri bekerja melebihi kemampuan dan keletihan melampau akhirnya menjejaskan kesihatannya.
Wakil Megan sebelum ini memaklumkan kepada media AS bahawa artis itu dibawa ke sebuah hospital di New York selepas “mula berasa sangat tidak sihat”.
Menurut mereka, doktor mengenal pasti keletihan melampau, dehidrasi, vasokonstriksi dan paras metabolik rendah sebagai punca simptom yang dialaminya.
“Megan telah menerima rawatan, dibenarkan keluar dari hospital dan kini sedang berehat,” menurut kenyataan wakilnya, sambil menambah bahawa penyanyi itu amat menghargai doa dan sokongan peminat.
Megan turut mengesahkan dia akan kembali ke pentas Broadway pada Khamis untuk menyambung semula peranannya sebagai Harold Zidler, pengacara eksentrik dalam muzikal tersebut.
“Saya akan kembali lebih kuat, lebih jelas dan bersedia memberikan 100 peratus kepada anda semua,” katanya.
Dikenali dengan nama sebenar Megan Pete, penyanyi lagu Savage, WAP dan Body itu membuat penampilan sulung Broadway yang dinanti-nantikan pada 24 Mac lalu dan dijadualkan memegang watak utama tersebut sehingga 17 Mei.
Moulin Rouge! The Musical pernah menyaksikan pelakon Danny Burstein memenangi Anugerah Tony bagi watak Zidler pada 2020, manakala artis drag terkenal Bob the Drag Queen turut membawakan peranan itu awal tahun ini.
Pihak produksi muzikal berkenaan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.
Sumber: Astro AWANI