Sekilas
- Pelakon Merah Muhaimin anggap drama Misi Solat Lima Waktu sebagai pengalaman bermakna yang membawa mesej penting tentang memperbaiki ibadah solat.
- Merah tekankan pentingnya proses pembelajaran dan usaha memperbetulkan bacaan serta tajwid solat walaupun tidak belajar sejak kecil.
- Drama ini diadaptasi daripada komik Islamik popular dan akan ditayangkan di Astro Ceria mulai 20 Februari, juga boleh distrim di Astro Go dan sooka.
Pelakon, Merah Muhaimin menyifatkan penglibatannya dalam drama terbaharu berjudul Misi Solat Lima Waktusebagai satu pengalaman bermakna kerana naskah itu membawa mesej penting tentang memperbaiki ibadah solat dalam kehidupan seharian.
Menurut Merah, tidak semua individu membesar dengan pengetahuan yang sempurna tentang cara menunaikan solat.
Bagaimanapun kata Merah, perkara itu tidak seharusnya menjadi halangan untuk terus belajar dan memperbetulkan kesilapan.
“Saya rasa ramai sahaja orang yang ketika masa kecik tidak tahu cara nak solat, tapi untuk apa kalau kita ada keluarga tapi tidak bertanya tentang cara-cara solat yang betul.
“Jadi kita tanya satu-satu, macam mana nak baca Al-Fatihah, nak memperbetulkan bacaan dan juga tajwidnya,” katanya kepada Gempak.
Tambah Merah lagi, apabila seseorang semakin meningkat dewasa, mereka akan menjadi lebih peka terhadap kesilapan dalam bacaan serta tajwid, sekali gus berusaha untuk memperbaikinya.
“Jadi saya rasa itu adalah proses pembelajaran, lama kelamaan bila kita dah dewasa kita akan tahu, oh benda ini salah, oh tajwidnya salah, maka kita betulkan.
“Sebab itu saya suka berlakon cerita Misi Solat ini kerana naskah ini menceritakan tentang bagaimana caranya untuk kita memperbetulkan solat,” jelasnya.
Selain Merah, drama ini juga dibintangi oleh Mikael Noah, Natasha Nazira, Anugerah Anas, Elly Mazlen, Azhan Rani, Sweet Qismina, Adam Lee, Ryan Rifqi, Laura Olivia dan Datuk Razak Ahmad.
Misi Solat Lima Waktu diadaptasi daripada komik Islamik terlaris dengan judul yang sama karya Nazry Salam dan Nazrul Ali.
Misi Solat Lima Waktu akan ditayangkan di Astro Ceria (saluran 611) bermula 20 Februari ini, jam 2 petang dan boleh distrim di Astro Go serta sooka.