Sekilas
- HBO Max mengesahkan siri drama Crazy Rich Asians akan ditayangkan pada 2027 dengan tiga pelakon utama asal kembali membawakan watak mereka.
- Siri ini akan mempunyai lapan episod dan diketuai oleh Adele Lim sebagai showrunner bersama penulis asal Kevin Kwan.
- Projek ini memberi peluang untuk mendalami watak dan dunia novel asal, serta berpotensi mengembangkan kisah dari dua novel susulan.
Berita baik buat peminat Crazy Rich Asians apabila HBO Max mengesahkan penerbitan siri drama berdasarkan filem popular tentang keluarga Young yang pernah mencetuskan fenomena saat ditayangkan lopan tahun lalu.
Lebih mengujakan, tiga bintang utamanya iaitu Tan Sri Michelle Yeoh, aktor Henry Golding dan Constance Wu bakal kembali membawa watak Rachel Chu, Nick Young dan Eleanor Young, sekali gus menghidupkan semula kisah cinta yang pernah mencuri perhatian peminat pada 2018 silam.
Siri yang turut menggunakan judul Crazy Rich Asians tersebut dijadualkan menemui penonton pada 2027 dengan lapan episod berdurasi sejam setiap satu, lapor Yahoo!.
Ronny Chieng juga kembali sebagai Eddie Cheng, sepupu Nick yang terkenal dengan gaya hidup mewah dan personalitinya yang tersendiri.
Filem pertama berakhir dengan Rachel dan Nick meraikan pertunangan mereka selepas Eleanor akhirnya memberikan restu.
Bagaimanapun, perkembangan terbaharu dalam kehidupan pasangan itu serta keluarga elit berkenaan masih menjadi tanda tanya apabila saluran tersebut belum mendedahkan sinopsis rasmi siri berkenaan.
Penulis bersama filem pertama, Adele Lim diketahui akan mengetuai projek itu sebagai showrunner dan penerbit eksekutif, bergandingan dengan Kevin Kwan selaku penulis trilogi novel asal, Nina Jacobson, Brad Simpson serta Jon M. Chu.
Menurut Lim, siri berkenaan memberi peluang untuk meneroka dengan lebih mendalam watak dan dunia yang dibangunkan Kwan menerusi novelnya.
Sebelum ini, Lim dilaporkan menarik diri daripada projek filem sekuel pada 2019 berikutan pertikaian mengenai jurang bayaran antara penulis skrip.
Untuk rekod, Crazy Rich Asians mencatat kutipan hampir AS$239 juta (RM1.03 bilion) di seluruh dunia daripada anggaran bajet AS$30 juta (RM129 juta) ketika ditayangkan pada 2018.
Filem itu turut mencipta fenomena menerusi gerakan #GoldOpen, yang menyaksikan pelbagai komuniti membeli tiket tayangan secara beramai-ramai sebagai tanda sokongan terhadap filem studio utama Hollywood yang menampilkan barisan pelakon Asia sepenuhnya.
Siri baharu itu juga membuka kemungkinan untuk mengembangkan kisah daripada dua novel susulan Kwan iaitu China Rich Girlfriend dan Rich People Problems.