Sekilas
- Mierul Aiman berkongsi pengalaman terkehel bahu ketika mewakili universiti dalam pertandingan ragbi, yang menyebabkan tisu bahunya koyak teruk.
- Walaupun cedera serius, Mierul dan pasukannya berjaya membawa pulang kejayaan pertama dalam sejarah ragbi universiti mereka.
- Program Gempakkan Kampus bersama McDonald's di UPM menampilkan artis popular dan aktiviti menarik untuk warga kampus, termasuk perbincangan mengenai kesihatan mental.
Pelakon KUDRAT 1968: High Council, Mierul Aiman berkongsi pengalaman dirinya yang pernah mengalami kecederaan bahu ketika mewakili universiti dalam pertandingan ragbi beberapa tahun yang lalu.
Menurut Mierul, kejadian itu berlaku ketika dia aktif bermain ragbi bersama pasukan sebuah universiti swasta yang diwakilinya sehingga menyebabkan tisu pada bahagian bahunya terkoyak teruk.
“Saya pernah terkehel bahu sewaktu mewakili universiti dalam pertandingan ragbi. Terkehel itu mungkin disebabkan saya tak pro, kedudukan ketika saya bermain itu tak betul sampai membuatkan bahu saya ‘terkeluar’.
“Saya terus keluar dan pihak bantuan perubatan ‘masukkan’ balik sebelum sambung semula bermain,” katanya.
Mierul berkongsi perkara tersebut ketika segmen Borak Dulu Baru Kamu yang diadakan di Panggung Percubaan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang bersempenan program kolaborasi Gempak bersama McDonald’s yang bernama Gempakkan Kampus.
Bercerita lanjut, juara program Hero Remaja ini memaklumkan dia kemudiannya mendapatkan rawatan lanjut di sebuah hospital swasta pada keesokan harinya sebelum doktor mengesahkan kecederaan yang dialaminya agak serius.
Ujar Mierul, kecederaan itu berlaku mungkin disebabkan dirinya yang pada ketika itu berada dalam kedudukan yang tidak betul.
“Keesokan harinya saya terus ke hospital swasta untuk buat pemeriksaan selanjutnya. Selepas buat pemeriksaan, doktor beritahu yang tisu pada bahagian bahu saya itu koyak dengan teruk.
“Pada saya, kecederaan pada bahu saya ini adalah sebab mungkin saya tak ‘pro’ dan tak pandai jaga diri,” tambahnya.
Walau bagaimanapaun, Mierul menganggap kecederaan itu sebagai satu pengalaman manis apabila dia dan pasukan berjaya membawa pulang kejayaan buat kali pertama buat pasukan ragbi universitinya.
“Waktu kejadian ini, saya merupakan kapten bagi pasukan ragbi universiti saya.
“Apa yang lebih manis adalah, universiti saya tak pernah menang apa-apa kejohanan ragbi tetapi Alhamdulillah saya dan pasukan berjaya membawa pulang kejayaan buat pertama kalinya kepada universiti kami,” katanya.
Sekadar info, Gempakkan Kampus bersama Mekdi yang pertama telah berlangsung pada Sabtu lalu di Panggung Percubaan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.
Program tersebut menampilkan barisan artis dan selebriti popular seperti Mierul Aiman, Dayang Nurfaizah, Qawiyaro, Financial Faiz, Yaya Zahir dan Amirul Ramli.
Amirul bersama Qawiyaro turut berkongsi mengenai isu kesihatan mental menerusi satu segmen yang dikendalikan oleh pengacara, Sean Lee.
Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan khas buat warga kampus, termasuk sesi perkongsian ilmu, permainan interaktif serta ruang santai untuk mahasiswa meluangkan masa bersama rakan-rakan.