Sekilas
- Datuk Seri Vida menyediakan 19 daripada 20 rumah miliknya untuk staf dan keluarga tinggal secara percuma, termasuk menanggung bil api dan air.
- Nilai keseluruhan hartanahnya dianggarkan sekitar RM50 juta, terdiri daripada rumah kediaman mewah dan kawasan perumahan komersial.
- Vida membeli hartanah berdasarkan keselesaan dan aura positif kawasan, bukan semata-mata untuk pelaburan, dan menyimpan rumah tersebut untuk generasi akan datang.
Usahawan sensasi, Datuk Seri Vida, secara sukarela memberi staf serta ahli keluarganya menetap di kediaman miliknya secara percuma.
Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman berkata, daripada 20 buah rumah yang dimiliki, hanya sebuah sahaja didudukinya, manakala selebihnya dihuni pekerja dan saudara-mara terdekat.
“Saya ada 20 buah rumah, tapi hanya sebuah rumah sahaja saya diami sekarang. Selebihnya saya bagi staf dan saudara-mara tinggal percuma. Bil api, air semua saya bayar.
“Itulah tanggungjawab saya kepada mereka yang dekat. Harapnya apa yang saya bantu memberikan kesenangan buat mereka, insya-Allah,” katanya kepada Gempak.
Mengulas nilai keseluruhan hartanah tersebut, Vida memaklumkan jumlah anggaran mencecah RM50 juta, merangkumi kawasan perumahan komersial dan kediaman mewah.
“Semua 20 buah rumah itu lebih kurang RM50 juta. Kawasan yang saya beli kebanyakannya komersial.
“Ada yang harga RM2 juta seunit, RM1 juta, RM600,000… saya memang ambil corner lot dan banglo.
“Ada orang nak beli, cuma saya tak mahu jual lagi. Kalau saya jual sekarang, nak dapat semula tanah dan kawasan macam itu memang tak akan jumpa.
“Jadi saya simpan sahaja untuk generasi akan datang. Semoga apa yang saya buat ini jadi saham di akhirat,” katanya.
Mengulas mengenai strategi pembelian hartanah, Vida menjelaskan bahawa ia bukan semata-mata pelaburan, sebaliknya berdasarkan keselesaan dan ‘rasa’ terhadap kawasan tertentu.
“Sebenarnya rumah dekat Ipoh ini tak boleh dijadikan pelaburan sangat, harga dia tak naik tinggi.
“Saya beli rumah sebab saya suka. Sebelum beli, saya akan tengok dulu keadaan sekeliling, macam ‘feng shui’ dan aura kawasan itu. Saya beli ikut tempat yang saya rasa ada aura positif,” ujarnya.