Sekilas
- Syafiq Kyle menafikan spekulasi bahawa isterinya, Mimi Lana, sedang hamil dan berkata tiada berita gembira untuk dikongsikan buat masa ini.
- Pelakon itu menjelaskan dia bukan suami yang romantik tetapi sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dan belajar menyesuaikan diri dalam fasa baru perkahwinan.
- Khabar angin hamil tersebar selepas video keluarga mereka menyambut ulang tahun Mimi tular di TikTok, menunjukkan Syafiq memegang perut Mimi.
Pelakon, Syafiq Kyle menjelaskan spekulasi netizen mengenai kemungkinan isterinya, Mimi Lana kini berbadan dua.
Tidak cepat melatah, Syafiq berkata buat masa ini masih belum ada berita gembira yang boleh dikongsikan.
“Itu orang kata (hamil), tetapi yang pertama sekali belum ada lagi, tiada apa yang boleh dikongsikan lagi. Tapi itulah orang kata kekuatan tapak tangan.
“Petua lah kot, mungkin saya amik berkat gosok di perut. Tak adalah… Tetapi kalau apa yang nak dikongsikan belum lagi.
“Kalau ada nanti saya akan kongsi, belum ada berita baik lagi, insya-Allah, doakan,” ujarnya.
Syafiq berkata demikian ketika ditemui selepas majlis anugerah Festival Filem Asia Pasifik (APFF) Ke-62 baru-baru ini.
Mengulas tentang kehidupannya selepas mendirikan rumah tangga, Syafiq berkata dia bukanlah seorang suami yang romantik namun sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk isterinya dan belajar menyesuaikan diri dalam fasa baharu sebagai suami.
“Itu memang kehendak semua wanitalah kan tapi saya ni bukanlah nak kata romantis dan tidaklah tidak, tapi kita belajarlah.
“Apa yang baik kita buat, apa yang saya rasa patut kongsi saya kongsi untuk inspirasi tetapi objektif dia adalah untuk menggembirakan isteri saya,” ujarnya.
Terdahulu, tular di TikTok mengenai khabar angin yang mengatakan pelakon, Mimi Lana kini sedang berbadan dua.
Khabar angin itu mula tersebar luas selepas tularnya satu hantaran dimuat naik @arra.raaa memaparkan momen mereka sekeluarga yang menyambut ulang tahun kelahiran Mimi.
Menerusi video berdurasi 17 saat itu, dapat dilihat satu momen di mana Syafiq memegang perut Mimi seakan memberi gambaran isterinya itu sedang hamil.
Perkongsian itu kemudiannya menyorot perhatian ramai yang rata-ratanya membanjiri ucapan tahniah di ruangan komen.