Skip to main content

Drama

Nad Zainal Pilih ‘Bahagia Yang Tertangguh’ Sebagai Naskhah ‘Comeback’ -  “Tertarik Dengan Jalan Cerita Isu Ipar Toksik”

Nad Zainal Pilih Bahagia Yang Tertangguh Sebagai Naskhah Comeback

Sejak September lalu, pelakon, Nad Zainal dilihat semakin aktif berkongsi gambar dan video di media sosial, memperlihatkan dirinya kembali sibuk di lokasi penggambaran. 

Perkongsian itu sekali gus mencuri perhatian peminat yang tidak sabar menantikan kemunculannya menerusi drama baharu terbitan Astro berjudul Bahagia Yang Tertangguh dan bakal menemui penonton tidak lama lagi.

Ketika ditanya mengapa memilih Bahagia Yang Tertangguh sebagai naskhah ‘comeback’, Nad berkata dia tertarik dengan jalan cerita berkenaan dengan isu ipar toksik.

“Saya rindu untuk kembali berlakon dalam drama bersiri. Bila dapat tawaran ini, saya baca novelnya dan terus tertarik dengan jalan cerita isu ‘ipar toksik’ yang jarang diketengahkan dalam drama tempatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nad juga berharap agar watak yang dibawanya mampu memberi inspirasi, khususnya kepada wanita bergelar ibu tunggal.

“Saya mahu kaum wanita, terutama ibu tunggal, dapat merasai perjuangan Nurin Hana. Semoga mereka terus kuat walaupun berdepan pandangan serong masyarakat,” katanya.

Tambah Nad lagi, bagi mendalami watak Nurin Hana iaitu seorang wanita yang berdepan gangguan kebimbangan (anxiety) akibat tekanan hidup, dia banyak melakukan kajian dengan menonton pelbagai video dan membaca artikel berkaitan. 

Malah Nad juga turut melatih ekspresi wajah serta gerak tubuhnya agar kekal konsisten dalam setiap babak yang memaparkan situasi serangan panik.

 

Selain itu, karakter Nurin Hana turut digambarkan sebagai seorang ibu kepada anak lelaki berusia lima tahun. 

Bagi menjayakan hubungan ibu dan anak di layar, Nad berusaha membina keserasian dengan pelakon cilik, Mateen yang memegang watak Raiqal, sejak hari pertama penggambaran.

“Alhamdulillah, Mateen sangat cemerlang dan banyak membantu saya menjayakan babak bersama,” kata Nad lagi.

Bahagia Yang Tertangguh turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Kamal Adli, Izzue Islam, Rozita Che Wan, Datin Seri Nina Juren, Rosnah Johari, Riz Amin, Norreen Iman, Mimi Ernida, dan Adrean Mateen.

Saksikan drama penuh emosi ini di Astro Ria, menerusi slot Megadrama, bermula 17 November ini.

Must-Watch Video

Advertisement