Pelakon, Nadhir Nasar menafikan berkecil hati kerana tidak dapat merangkul sebarang anugerah sepanjang bergelar anak seni.
Jelasnya, perjalanan lima tahunnya dalam industri masih terlalu awal untuk membuat apa-apa penilaian tentang kerjayanya.
“Saya tidak merajuk dengan industri seni. Saya masih lagi berada di sini, masih lagi bekerja dan berlakon. Tidak timbul isu merajuk kepada mana-mana pihak.
“Saya baru lima tahun berlakon. Nak kata bagus sangat pun tidak, banyak lagi saya kena belajar,” katanya kepada Gempak.
Pelakon filem Magik Rompak itu juga akui memenangi anugerah bukan fokus utamanya untuk berada dalam industri.
“Ramai mungkin cakap kenapa saya tak menang anugerah. Perkara pertama yang saya pegang kita bekerja bukan fasal anugerah pun. Saya percaya rezeki Tuhan beri akan hadir tepat pada masanya.
Tidak ada apa yang perlu dikejarkan. Saya masih boleh menang anugerah pada usia 42 tahun atau 55 tahun kalau diberi umur yang panjang.
“Saya tetap akan menjadi seorang pelakon yang relevan walaupun usia saya meningkat, insya-Allah," ujarnya.
Walaupun tidak mengejar kemenangan, Nadhir tidak menafikan trofi Festival Filem Malaysia (FFM) tetap menjadi sasaran peribadinya.
“Kalau boleh memang saya mensasarkan untuk memenangi anugerah di FFM. Semua anugerah sebenarnya baik, tetapi untuk menang itu satu rezeki.
"Kalau tak menang, saya akan bekerja lebih keras untuk dapatkan apa yang saya mahu," tambahnya.