Pelakon, Nadzmi Adhwa dilihat tiba bersama dengan dua anaknya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar pukul 9.40 malam untuk menyambut kepulangan isterinya, Ardell Aryana.
Nadzmi hadir bersama dengan ahli keluarga aktivis kemanusian Global Sumud Flotilla dengan menaiki empat buah bas.
Advertisement
Aktor itu turut dilihat membawa jambangan bunga untuk dihadiahkan kepada Ardell.
Ketika ditemui Nadzmi sempat memohon doa buat isterinya.
"Doakan isteri saya," katanya ringkas.
Turut kelihatan pelakon, Yusuf Bahrin yang menaiki bas yang sama bagi menyambut isteri tercinta, Zizi Kirana.
Pada Sabtu, kesemua 23 sukarelawan rakyat Malaysia yang ditahan rejim Zionis ketika menyertai misi kemanusiaan GSF ke Gaza, dibebaskan.
Mereka dibawa ke Lapangan Terbang Ramon di Israel sebelum menuju ke Istanbul, Turkiye.
Pada Ahad, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhasrat untuk menganjurkan sebuah himpunan khas untuk meraikan kepulangan para wira dan wirawati GSF.
Menerusi kenyataan, Anwar menyifatkan 23 sukarelawan merupakan lambang keberanian rakyat Malaysia.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pengarah Keselamatan Presiden Turkiye, Dr Ibrahim Khalil, atas jasa memastikan keselamatan dan kesihatan sukarelawan Malaysia berada dalam keadaan baik sepanjang proses pembebasan.
Beliau turut meminta para sukarelawan menulis nota penghargaan kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, atas usaha membantu membawa keluar mereka dari tahanan Israel dan memberi perlindungan sementara di Istanbul.