Selepas kejayaan cemerlang anaknya, Engku Aleesya meraih keputusan 7A dalam peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE), penyanyi dan pelakon, Erra Fazira mengakui hatinya berat untuk melepaskan permata hatinya itu menyambung pelajaran ke luar negara.
Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 51, berkata, keputusan mengenai hala tuju pelajaran Aleesya masih dalam perbincangan bersama bekas suami, Engku Emran.
Advertisement
“Ia satu keputusan yang sukar. Saya dan bapanya masih lagi berbincang jika dia mahu sambung belajar di luar negara.
“Kami sedang mempertimbangkan beberapa pilihan termasuklah kemungkinan Aleesya belajar dalam negara dahulu. Nak berpisah memang agak berat,” katanya kepada Gempak.
Tambah pelakon Cinta Kolestrol itu, walaupun berat hati, sebagai ibu dia sedar pentingnya memberi peluang kepada anaknya untuk belajar berdikari.
“Saya mahu Aleesya duduk di asrama supaya dia tahu erti susah. Sebagai ibu saya perlu melepaskan anak supaya dia belajar berdikari.
“Tetapi bapanya belum bersedia. Mungkin dia rasa Aleesya masih kecil,” ujarnya.
Untuk rekod, Aleesya merupakan anak hasil perkahwinan Erra bersama bekas suami, Engku Emran.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 25 Oktober 2007 namun bercerai secara baik pada 18 Februari 2014.