Skip to main content

Selebriti

Nam Ron Tegur Budaya Ukur Pelakon Berdasarkan Jumlah ‘Followers’ - “Walaupun Berbakat, Jika Kurang Pengikut…”

Nam Ron Tegur Budaya Ukur Pelakon Berdasarkan Jumlah Followers

Ringkasan AI

  • Nam Ron berkongsi pandangan tentang perubahan dunia hiburan yang kini lebih bergantung pada populariti media sosial berbanding bakat sebenar.
  • Beliau menjelaskan bahawa sejak dulu sudah ada pelakon yang popular kerana kerap muncul di majalah hiburan, bukan kerana bakat.
  • Populariti kini diukur melalui jumlah pengikut di media sosial seperti Instagram, menggantikan peranan majalah hiburan dahulu.
  • Pelakon yang kurang pengikut media sosial berdepan kesukaran mendapat tawaran berlakon walaupun berbakat dan berpengalaman.
  • Nam Ron mengajak penonton untuk menyokong pelakon tempatan dengan menekan butang follow di media sosial mereka.

Pelakon, Nam Ron tampil memberikan pandangannya tentang realiti dunia hiburan masa kini yang dikatakan semakin banyak bergantung kepada populariti di media sosial berbanding bakat sebenar.

Menerusi hantaran di Facebook miliknya, Nam Ron berkata, perubahan dalam industri hiburan ini bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya wujud sejak dia mula menapak dalam dunia lakonan suatu ketika dahulu.

“Dunia hiburan sekarang tidak seperti dahulu. Tak sama tapi masih serupa. Cuma sekarang lebih ketara.

“Dahulu ketika saya mula untuk jejak kaki dalam bidang lakonan, sudah ada gelaran pelakon majalah. Gelaran yang diberi kepada pelakon yang tiada bakat tetapi kerap muncul di majalah hiburan. 

“Ketika itu ada dua golongan pelakon, berdiri kerana bakat dan satu lagi kerana populariti (kerap menghiasi majalah).

“Ada antara pelakon yang menjaga hubungan dengan wartawan hiburan supaya kerap menghiasi majalah. Ini semua dilakukan supaya peluang untuk berlakon terbuka luas,” luahnya

Bagaimanapun kata Nam Ron, situasi tersebut kini berubah bentuk apabila jumlah pengikut di media sosial menjadi ukuran utama populariti seseorang artis.

“Sekarang pun masih lagi ada dua golongan ini. Cuma populariti tidak lagi diukur dari kerap menghiasi majalah (majalah pun dah terkubur di zaman alam maya ni).

“Populariti hari ini diukur melalui jumlah pengikut di media sosial (terutama di instagram). Pelakon yang kurang ‘followers’ akan dianggap tidak popular dan tawaran untuk berlakon pun tak seberapa.

“Jika dahulu gelaran mereka adalah pelakon majalah sekarang dipanggil pelakon media sosial. Semuanya berdiri di atas populariti bukan bakat semata mata.

“Malah lebih pedih, pelakon pelakon hari ini dipaksa secara halus untuk dapatkan pengaruh di media sosial. 

“Proposal atau kertas cadangan diwajibkan untuk meletak jumlah pengikut pelakon yang dicadangkan kepada syarikat penerbitan atau stesen.

“Pelakon yang kurang pengikut terpaksa bersaing dengan pelakon yang lebih ramai untuk mendapat tawaran. Semestinya akan diketepikan kerana dianggap tidak popular,” jelasnya.

Tambah Nam Ron lagi, keadaan itu menyebabkan ramai pelakon berbakat dan berpengalaman terpinggir kerana tidak mempunyai pengaruh besar di media sosial.

Disebabkan itu, Nam Ron berharap penonton dapat menyokong pelakon berbakat tempatan dengan cara yang mudah iaitu menekan butang follow di media sosial mereka.

“Jadi kesimpulannya, walaupun pelakon itu berbakat, berpengalaman dan dikenali ramai tetapi jika kurang pengikut di media sosial (baca: Instagram) peluang untuk muncul di dalam sesuatu project amatlah tipis. Jika sangkut pun untuk watak watak picisan.

“Sekiranya sedara dan sedari, mahu melihat pelakon kegemaran terus beraksi dan menghiburkan kita, sedara dan sedari kena follow Instagram mereka. 

“Tak perlu komitmen tak perlu bayar tak perlu untuk hari hari scroll dan like setiap posting. Boleh swipe aje. Cukup hanya follow.

“Bagi yang belum follow saya di Instagram boleh lah tekan butang follow. Saya amat hargai. Semoga sedara dan sedari murah rezeki. Link Instagram saya ada di komen. Terima kasih,” coretnya.

Sumber: FB Nam Ron


 

Must-Watch Video

Advertisement