Skip to main content

Acara

Noraniza Idris Gegarkan Panggung Anniversary KL, Hadiahkan Persembahan Percuma Di Festival Kemuncak TERMA’25

terma

Sekilas

  • Festival Tarian Evolusi Etnik Rakyat Malaysia 2025 (TERMA’25) akan berlangsung di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Disember dengan pelbagai persembahan seni budaya secara percuma.
  • Acara ini menampilkan ikon Irama Malaysia, Noraniza Idris, bersama artis lain serta pelbagai pertandingan seperti Pencarian Bakat Bintang Legasi Etnik dan Peragaan Busana Etnik untuk kanak-kanak.
  • TERMA’25 juga menyediakan program pendidikan dan bengkel tarian warisan, bertujuan memupuk kecintaan dan pemahaman terhadap seni budaya Malaysia secara kontemporari dan beretika.

Festival Tarian Evolusi Etnik Rakyat Malaysia 2025 atau TERMA’25 bakal menghidupkan semula roh seni warisan apabila Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur menjadi medan pertemuan penggiat seni, pencinta budaya dan orang ramai dari 26 hingga 28 Disember ini.

Festival kemuncak yang dianjurkan selama tiga hari bermula jam 2 petang hingga 7 malam itu menjanjikan pengalaman budaya berskala besar apabila ikon Irama Malaysia, Noraniza Idris, tampil membuat persembahan percuma bersama barisan artis di bawah NIPV Management termasuk Ihab Ismail, Azmir Ariff, Nabila dan Siti Sarah Ahmad Jamil

Bukan sekadar sebuah acara hiburan, TERMA’25 dirangka sebagai pesta budaya hujung tahun yang menghimpunkan muzik, tarian, busana dan jiwa seni etnik Malaysia di satu pentas ikonik, sekali gus membuka ruang kepada masyarakat dan pelancong untuk mengenali wajah sebenar budaya negara menjelang Tahun Melawat Malaysia.

Sebagai figura penting Irama Malaysia, Noraniza Idris melihat TERMA’25 sebagai platform untuk memastikan seni tradisi terus hidup dan berkembang, bukan sekadar disimpan sebagai nostalgia.

“Irama Malaysia bukan nostalgia. Ia identiti negara yang perlu terus dipersembahkan, difahami dan diwariskan," katanya.

Justeru beliau memilih untuk membuka pentas kepada komuniti seni secara percuma sebagai usaha melahirkan pelapis warisan.

Festival ini turut menampilkan lima acara utama yang disusun padat dan meriah, termasuk Pertandingan Pencarian Bakat Bintang Legasi Etnik Malaysia Peringkat Kebangsaan yang menjadi medan kelahiran bintang baharu Irama Malaysia.

Selain itu, Pertandingan Peragaan Busana Etnik Paling Glamour melibatkan peserta seawal usia empat hingga 15 tahun, membuktikan warisan budaya mampu ditampilkan secara kreatif dan segar.

Program pendidikan turut diberi penekanan menerusi aktiviti mewarna kanak-kanak bertemakan pakaian etnik Malaysia serta Bengkel Tarian Warisan Malaysia Truly Asia yang membuka ruang pembelajaran langsung daripada penggiat seni berpengalaman.

Kemuncak festival pula menyaksikan Pertandingan Tarian Evolusi Etnik Rakyat Malaysia Peringkat Kebangsaan yang menghimpunkan 10 kumpulan tarian terbaik dari seluruh negara.

Majlis pelancaran kemuncak TERMA’25 bakal disempurnakan oleh Yang Teramat Mulia Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan, Datuk Haji Muhammed bin Haji Abdullah, Undang Luak Johol, Negeri Sembilan, sekali gus menambah nilai simbolik dan penghormatan terhadap warisan budaya yang diangkat.

Menurut Noraniza Idris, setiap persembahan dipilih dengan teliti bagi memastikan elemen budaya dipersembahkan secara tepat, beretika dan tidak disalah tafsir. Pendekatan evolusi seni yang diketengahkan pula berlandaskan kefahaman akar budaya, digarap secara kontemporari oleh koreografer berpengalaman tanpa menjejaskan nilai asal warisan.

TERMA’25 dianjurkan oleh Persatuan Tatihseni Malaysia dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia serta kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Festival ini dibuka kepada orang ramai secara percuma dan dilihat sesuai sebagai aktiviti riadah hujung minggu bersama keluarga, sambil menikmati suasana hijau Taman Tasik Perdana serta memperkukuh kecintaan terhadap seni budaya tanah air.

Must-Watch Video

Advertisement