Sekilas
- Noraniza Idris berterima kasih kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza atas peluang menjadi penyanyi undangan di Konsert Gema Bumantara yang membantu memperbaiki penerimaan orang ramai terhadap dirinya.
- Beliau menyokong usaha Siti dalam memartabatkan Irama Malaysia dan berharap genre muzik tradisional ini terus dikenali oleh generasi muda melalui platform seperti TikTok.
- Noraniza juga teruja memperkenalkan seni zapin melalui Festival Akar Kita Zapin 2026 sebagai usaha memelihara dan mewariskan warisan budaya kepada generasi akan datang.
Penyanyi Noraniza Idris meluahkan rasa lega apabila merasakan penerimaan orang ramai terhadap dirinya semakin baik berbanding sebelum ini.
Noraniza atau lebih mesra disapa Kak Ani itu turut berterima kasih kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza yang memberinya peluang menjadi penyanyi undangan pada Konsert Gema Bumantara, 17 Oktober lalu.
Menurut Noraniza, jemputan tersebut secara tidak langsung menjawab persoalan yang sekian lama bermain di fikiran masyarakat mengenai dirinya.
“Saya berterima kasih pada Siti sebab dia tolong jawabkan persoalan-persoalan yang orang terlalu lama bertanya tentang saya.
“Jadi bila dalam konsert itu secara tidak langsung sebenarnya ia merupakan satu ukhwah yang terjalin.
“Kita mempunyai kerjaya masing-masing yang perlu dihormati antara satu sama lain. Bila Siti menjemput saya, sekurangnya mengimbau kembali kenangan lama,” katanya kepada Gempak.
Noraniza berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Festival Akar Kita Zapin 2026 di Aeon Alpha Angle, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada Ahad.
Dalam pada itu, Noraniza menyambut baik usaha Siti dalam memartabatkan Irama Malaysia yang disifatkan sebagai peluang besar buat penggiat muzik tradisional.
Katanya, pengaruh Biduanita Negara itu mampu membantu memperkenalkan genre berkenaan kepada lebih ramai pendengar, khususnya generasi muda.
“Ia menjadi satu lipatan sejarah yang sangat dinanti-nantikan peminat. Saya melihatnya sebagai satu rezeki apabila apa sahaja yang Siti katakan, ada pengikut yang akur.
“Disebabkan itu, saya sangat berharap Siti tidak berhenti, sebaliknya terus mengangkat Irama Malaysia dengan cara tersendiri demi membuka peluang kepada generasi baharu.
“Jika kita lihat di TikTok, ramai artis mempunyai single berentak Irama Malaysia, tetapi masih belum dapat menembusi pasaran (diterima ramai). Siti menjadi suara yang mewakili semua,” ujarnya.
Mengulas mengenai single terbaharunya berjudul Salam Kaut, Noraniza mengakui tidak menyangka lagu tersebut menerima sambutan positif daripada pendengar.
Malah, dia masih teruja melihat perubahan penerimaan masyarakat terhadap karya terbaharunya itu.
“Sampai sekarang saya rasa macam blur sikit, bukan fasal apa. Cuma teruja apabila sudah ramai boleh menerima lagu baharu saya.
“Saya bersyukur, rasa seperti macam ini ke rasanya bila orang hargai lagu kita. Apa yang saya buat untuk lagu ini?” katanya.
Sementara itu, Noraniza turut menyatakan keterujaannya apabila berpeluang memperkenalkan seni zapin kepada masyarakat menerusi penganjuran festival berkenaan.
Jelasnya, usaha seperti itu penting bagi memastikan seni warisan terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi seterusnya.
“Generasi pelapis perlu berpeluang mengenali pemegang ilmu, memahami asal usul gerak serta menghayati adab dan nilai di sebalik persembahan.
“Pembelajaran secara percuma membuka akses yang lebih luas kepada masyarakat. Pada masa yang sama, pertemuan antara generasi membolehkan ilmu disampaikan secara langsung, membina keyakinan peserta dan menumbuhkan rasa bangga terhadap budaya sendiri,” katanya.