Penyanyi Nourul Depp atau nama penuhnya Noorul Huda Abdul Wahab berkongsi situasi banjir yang melanda Bali, Indonesia sejak beberapa hari lalu.
Menurut Nourul, keadaan keluarganya setakat ini tidak terjejas, namun banjir yang melanda beberapa kawasan utama menyebabkan urusan harian mereka sedikit terganggu.
Advertisement
“Macam kawasan rumah kami, Alhamdulillah okey. Cuma di Denpasar memang teruk sebab banyak sungai keliling dan hujan langsung tidak berhenti. Pembangunan pun terlalu banyak, sampah sarap tidak terurus, jadi air mudah naik,” katanya kepada Gempak.
Tambah penyanyi Kerana Terluka itu, suaminya, Eric Daniel Depp terpaksa dihantar ke lapangan terbang menaiki motosikal selepas jalan utama dinaiki air dan sesak teruk.
“Hari ini suami perlu ke Kemboja, jadi nak tak nak terpaksa hantar naik motor. Kereta boleh masuk tapi terlalu jammed, jalan banyak tutup,” ujarnya.
Malah, ibu kepada empat cahaya mata itu mengambil inisiatif bersama komuniti sekolah antarabangsa di sana untuk mengumpul dana serta pakaian bagi membantu mangsa banjir.
“Today kami untuk sekolah memang semua warganegara asing di sini sepakat adakan kutipan dana. Sedekah baju atau wang. Macam tadi pun saya dah letak di Instagram, siapa yang nak bantu boleh terus salurkan, termasuk dari akaun antarabangsa.
“Sebab ramai orang susah dekat sini. Okey mata wang kita Alhamdulillah stabil. Jadi kalau kita bagi RM10 pun, pada mereka sudah dikira sangat besar nilainya.
“Indonesia ni kalau kaya, kaya betul, kalau miskin memang susah. Jadi kami di sekolah asing di sini sepakat adakan tabung bantuan. Saya juga buka sumbangan untuk sesiapa yang mahu bantu,” jelasnya.
Sementara itu, Nourul berkata mata wang Malaysia yang lebih stabil memudahkan rakyat negara ini menghulurkan bantuan walaupun dalam jumlah kecil.
“Bagi mereka RM10 pun dah besar nilainya. Setakat ini Alhamdulillah ramai yang sudi salurkan,” katanya.
Sebelum ini, Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) bersama Kerajaan Provinsi Bali sebelum ini mengisytiharkan status darurat bencana selama seminggu berikutan banjir yang meragut sembilan nyawa di beberapa wilayah.
Menurut data BNPB, lima kematian dilaporkan di Denpasar, dua di Jembrana, seorang di Gianyar dan seorang lagi di Badung. Secara keseluruhan, 202 keluarga atau 620 penduduk terjejas akibat hujan lebat berterusan sejak Selasa.
Daerah yang terlibat ialah Denpasar, Jembrana, Gianyar, Klungkung, Badung dan Tabanan.
Untuk rekod, Nourul berhijrah ke Bali selepas berkahwin dengan Eric pada 2012 dan kini dikurniakan tiga cahaya mata, Zachary, Raphael, dan Isabella.
Manakala anak sulungnya, Ayu Nazirah, hasil perkahwinan terdahulu bersama komposer Ajai, kini menetap di Malaysia.