Penyanyi Nubhan, menepis dakwaan kewujudan orang ketiga yang menjadi punca perpisahan bersama isteri, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek.
Menurut Nubhan atau Ahmad Nubhan Ahamad , dia menegaskan bahawa perkara itu tidak berlaku sama sekali dan meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung punca sebenar perpisahan mereka.
Advertisement
“Itu tidak benar sama sekali. Saya faham banyak spekulasi dan berita penceraian saya ini mengejutkan ramai pihak.
“Orang boleh fikir macam-macam, cuma saya mohon semua hormati proses mahkamah yang sedang berjalan. Saya juga mengharapkan yang terbaik buat diri saya dan pihak sana,” katanya ketika ditemui Gempak.
Nubhan berkongsi perkara itu ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor pada Khamis.
Nubhan turut memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai punca perpisahan memandangkan kes berkenaan masih dalam proses perbicaraan.
“Tiada siapa pun yang mahukan perkara seperti ini berlaku. Jadi saya tak boleh komen lebih kerana isu ini masih dibicarakan di mahkamah.
“Saya reda dengan apa yang sudah berlaku. Banyak hati yang perlu dijaga, jadi biarlah mahkamah yang menentukan,” ujarnya.
Dalam masa sama, Hakim Syarie Tuan Muhamad Nazri Basrawi telah menetapkan 2 Disember depan sebagai tarikh perbicaraan kedua bagi kes berkenaan.
Dalam prosiding tersebut, Nubhan selaku plaintif diwakili oleh peguam syarie Mohd Redzuan Ramli, manakala pihak defendan (Dr Afifah) diwakili oleh peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir.
Sebelum ini, Akberdin memaklumkan Nubhan pernah melafazkan cerai terhadap isterinya pada tahun 2017, namun pasangan itu kembali rujuk dalam tempoh idah.
Menurut peguam syarie itu, Nubhan memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah yang didakwa berlaku dalam sebuah kereta pada 26 Ogos lalu.
Katanya lagi, perceraian kali ini berlaku secara baik tanpa sebarang konflik besar, sebaliknya berpunca daripada perselisihan faham dalam rumah tangga.
Difahamkan, sejak kejadian itu pasangan berkenaan tidak lagi tinggal sebumbung.
Sekadar rekod, Nubhan dan Afifah Hidayah juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 selepas hampir setahun bertunang.
Perkahwinan mereka diserikan dengan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8; Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille yang berusia tiga tahun.