Sekilas
- Nur Sajat berkongsi foto zaman kanak-kanak yang menunjukkan jiwa perempuan dalam dirinya sejak kecil.
- Dia membesar di bawah jagaan adik-beradik dan menghadapi kesunyian serta jarak dengan keluarga kerana dunia tidak memberi ruang untuk dirinya.
- Sajat percaya perjalanan hidupnya adalah ketentuan Tuhan dan kini dia belajar untuk menyayangi diri sendiri seperti impiannya sejak kecil.
Usahawan dan personaliti media sosial, Nur Sajat, berkongsi sekeping foto zaman kanak-kanak yang disifatkan sebagai antara bukti paling awal dirinya sudah memiliki jiwa perempuan sejak kecil.
Dalam hantaran di Instagram, Sajat mengakui gambarnya itu membuatkan hati berasa berat kerana ia menyimpan kisah yang tidak pernah diketahui ramai.
“Kadang-kadang bila saya tengok gambar ni balik… hati saya jadi berat. Ini bukan sekadar gambar kanak-kanak. Ini adalah bukti bahawa dari kecil saya sudah menjadi diri saya sendiri. Lembut, halus, penuh jiwa perempuan walaupun saya sendiri belum faham apa maknanya waktu itu,” tulisnya.
Sajat mendedahkan gambar itu bukan dirakam oleh ibu atau bapanya, sebaliknya dia banyak membesar di bawah jagaan adik-beradik. Banyak perkara terpaksa ditempuh seorang diri dan banyak perasaan dipendam sejak kecil.
“Kadang-kadang saya tanya dalam hati… apa salah saya dilahirkan dengan jiwa macam ni?”
“Saya sudah menjadi ‘Sajat’ lama sebelum dunia kenal nama itu. Saya hanya seorang budak kecil yang ingin disayangi, dihargai, dan dilindungi," tambahnya.

Namun, laluan hidupnya tidak seindah gambar lama itu. Sajat mengakui semakin membesar, dirinya semakin jauh daripada keluarga bukan kerana tidak sayang, tetapi kerana dunia ketika itu tidak memberi ruang untuk seseorang seperti dirinya bernafas.
“Bila saya terpaksa pergi, terpaksa berjauhan, itulah kali pertama saya belajar apa itu kesunyian," ujarnya lagi.
Dalam luahan sama, Sajat mengakui sering merindukan pelukan keluarga, panggilan untuk pulang dan rasa memiliki tempat berteduh.
Bagaimanapun, dia percaya setiap perjalanan hidupnya adalah di bawah aturan Tuhan.
“Tuhan ambil keluarga saya, tapi Tuhan bagi saya kekuatan. Kekuatan untuk berdiri seorang diri, untuk bangkit sendiri, untuk jadi wanita yang saya impikan sejak kecil.
“Dan sampai hari ini… saya masih budak kecil dalam gambar ni. Cuma bezanya sekarang, saya belajar sayang diri saya sendiri," tulis Sajat lagi.