Skip to main content

Hiburan

Nyanyi Di Ketinggian 2 Tingkat, Persembahan Amir Masdi Di Konsert Countdown Kita 2026 Satu Detik Luar Biasa - “Sampai Sekarang Saya…”

Amir Masdi

Penyanyi, Amir Masdi menyifatkan peluang membuat persembahan di atas sebuah bangunan setinggi hampir dua tingkat sempena tahun baharu sebagai satu pengalaman yang cukup manis dan sukar dilupakan dalam perjalanan seninya.

Menurut Amir, persembahan istimewa tepat jam 12 tengah malam itu menjadi lebih bermakna apabila pentas berkenaan dikhaskan sepenuhnya buat dirinya untuk menyampaikan lagu The Final Countdown.

“Saya dapat berdiri dan menyanyi di atas satu bangunan yang ketinggiannya lebih kurang 2 tingkat pada detik jam 12 pagi peralihan tahun 2025 ke 2026 itu adalah satu detik manis buat saya. 

“Lebih-lebih lagi pentas di atas itu hanya untuk saya dan menyanyikan lagu The Final Countdown. Saya sangat berterima kasih untuk semua yang terlibat dalam menjayakan projek ini dan ia mungkin menjadi satu projek yang ikonik untuk saya,” katanya kepada Gempak. 



Mengulas lanjut, Amir mengakui perasaannya bercampur baur dan masih sukar mempercayai pengalaman luar biasa tersebut meskipun telah melalui sesi latihan sebelum persembahan.

“Sangat-sangat tak percaya. Masa saya buat rehearsel saya rasa benda itu biasa sahaja tapi selepas naik untuk buat persembahan saya rasa ia sangat mengujakan melihat lautan manusia di bawah sana, dengan adanya bunga api saya rasa ia sangat best. 

“Sampai sekarang saya masih terbayang-bayang persembahan saya tadi,” tambahnya. 

Selain Amir, Konsert Countdown Kita 2026 turut dimeriahkan dengan persembahan Faizal Tahir, Ella, Aisha Retno, Rayme, Didie Shazry, Wanie Kayrie, Nadeera, Hael Husaini, Audra dan kumpulan Alpha.
 

Must-Watch Video

Advertisement