Sekilas
- Ojen Aiwahhh memohon maaf atas kenyataan 'jangan kacau orang yang berduit' yang disalah tafsir oleh netizen di media sosial.
- Beliau menjelaskan kenyataan itu bertujuan menyokong netizen Malaysia dan melindungi perniagaan yang dibinanya selama lima tahun, bukan untuk menghentam sesiapa.
- Ojen menegaskan tindakan saman bukan kerana teguran peribadi, tetapi untuk mempertahankan nama baik dan perniagaan Kunafa Aiwahhh yang melibatkan ramai pekerja tempatan.
Personaliti media sosial dan usahawan, Ojen Aiwahhh, tampil membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataan tular di media sosial baru-baru ini.
Menerusi hantaran di Instagram miliknya, Ojen memaklumkan kenyataan ‘jangan kacau orang yang berduit’ sebelum ini telah disalah erti oleh netizen.
Jelas Ojen, penggunaan perkataan ‘plus’ dalam kenyataan tersebut sebenarnya membawa maksud sokongan terhadap netizen Malaysia dan sebagai peringatan agar tidak mengganggu pihak-pihak yang telah membina perniagaan secara sah.
“Ini adalah yang terakhir, bukan untuk mengeruhkan tapi untuk menjelaskan. Perkataan yang dilafazkan itu bukan maksud nak menghentam netizen Malaysia.
“Saya tulis ‘plus’ di situ kerana saya on side netizen Malaysia. “Plus jangan kacau orang yang berduit” kerana sebelum ni terlalu ramai yang kena dengan saudara tersebut, abang abang gym yang jual supplements, influencer Malaysia yang buat mukbang, termasuklah artis Malaysia kita,” jelasnya.
Dalam hantaran yang sama, Ojen turut menegaskan bahawa tindakan memfailkan saman bukan berpunca daripada teguran bersifat peribadi, sebaliknya kerana isu tersebut telah menyentuh nama baik dan perniagaan yang dibinanya selama lebih lima tahun menerusi jenama Kunafa Aiwahhh.
“Konteks itu dilafazkan dengan erti kata lain (kalau sebelum ni tak ada yang mampu nak saman) Baik, saya sanggup turun naik mahkamah.
“Biarlah saya menjadi wakil, tak nak orang lain terkena juga dan saudara tersebut telah menyentuh business dan nama brand saya bina selama 5tahun @kunafa.aiwahhh
“Saya tegaskan sekali lagi, saya filekan saman bukan kerana saudara tersebut menegur personal saya, tidak.
“Jujur saya cakap, saya ambil juga nasihat yang diberikan cuma kali ini berbeza. Bukan kerana saya nak riak atau bongkak, mustahil kerana saya juga warganegara dan bisnes @kunafa.aiwahhh ini bukan lah mata pencarian saya sorang.
“Malah kami mempunyai personal shopper yang ramai, staff yang bernaung juga lebih 50 orang dan semuanya terdiri dari lokal bumiputera,” tegasnya.
Mengakui kesilapan, Ojen berkata kenyataan yang dikeluarkan ketika berada dalam keadaan emosi telah menyebabkan salah faham dan mencetuskan kemarahan dalam kalangan netizen.
“Kata-kata itu telah disalah ertikan sehingga menyebabkan kalian marah pada saya. Namun saya mengakui silap saya.
“Ketika terlalu beremosi, hakikatnya jauh dari sifat Ojen Aiwahhh untuk berkata sedemikian. Saya minta maaf.
“Tidak dinafikan jika orang yang tak tahu pucuk pangkal cerita pasti akan bersangka buruk terhadap saya kerana bunyinya kurang sopan.
“Dengan rendah hatinya saya memohon maaf atas kata kata tersebut dan telah pun delete komen tersebut.
“Terima kasih, saya juga jahil dan manusia yang tak lari dari dosa dan penuh keaiban, maafkan dan doakan saya untuk jadi lebih baik,” jelasnya.
Berikut merupakan kenyataan penuh Ojen: